Kos Servis Asas Kereta Yang Anda Semua Patut Tahu

Anda pernah kena tipu semasa servis kereta? Kes penipuan servis kereta makin menjadi-jadi apabila semakin ramai yang berkongsi kejadian mereka seperti ditipu. Penipuan yang bagaimana? Ada kalanya mereka menggunakan alat ganti yang tak tulen atau caj yang lebih mahal daripada yang sepatutnya.

Macam mana nak elakkan diri anda daripada ditipu pusat servis? Tidak ada cara lain yang lebih berkesan daripada mendidik diri anda sendiri tentang kos servis kereta. Apabila anda tahu berapa sepatutnya caj servis, maka susahlah pomen nak ketuk atau tipu anda nanti.

 

Dalam perkongsian kali ini, kami akan kongsikan tentang servis asas kereta beserta kos yang sepatutnya. Barulah tak mudah anda kena ‘ketuk’ dengan pomen!

 

Kos Servis Kereta Yang Sepatutnya 

 

1. Minyak Enjin/Minyak Hitam

Dalam banyak-banyak perkara, minyak enjin atau minyak hitam ini antara yang paling kerap perlu ditukar. Bergantung kepada model kereta, ada yang minyak hitamnya perlu ditukar setiap 5,000 km hingga 10,000 km, atau setiap enam bulan (yang mana sampai dahulu).

 

jenis minyak hitam, person pouring new engine oil into engine

 

Bagi minyak hitam kereta, harganya sekitar RM60 hingga RM400 – bergantung kepada jenis iaitu sama ada mineral, separa sintetik atau sintetik sepenuhnya serta kelikatan minyak yang anda ingini bagi kereta anda.

 

2. Penapis Minyak (Oil Filter)

Kebiasaannya apabila anda menukar minyak hitam, penapis minyak juga akan ditukarkan sekali. Ia adalah untuk memastikan enjin anda boleh berfungsi tanpa pencemaran bendasing daripada minyak yang telah ditukar.

 

 

Bagi penapis minyak, harganya adalah sekitar RM10 hingga RM50, bergantung kepada jenama. Bagi upah memasangnya pula antara RM10 hingga RM20. Ada kalanya, upah memasang sudah disekalikan dengan upah menukar minyak hitam kereta.

 

3. Plat Klac (Clutch Plate)

Jika anda memiliki atau membeli kereta dengan transmisi manual, antara komponen yang perlu diservis dan ditukar secara berkala ialah plat klac (clutch plate).

 

 

Bagi penukaran plat klac ini, harga bagi satu unit adalah bermula daripada RM200 dan ia boleh mencecah ribuan ringgit. Harga adalah berdasarkan model kereta serta jenis plat klac. Upah bagi menukar plat klac pula adalah bermula daripada RM150.

Disebabkan proses menukar plat klac ini memerlukan mekanik untuk menanggalkan beberapa komponen, maka tak peliklah jika upah menukar plat klac ini sedikit mahal.

 

4. Minyak ATF

Bagi pengguna kereta automatik, ia tidak menggunakan minyak gear tetapi menggunakan minyak ATF atau automatic transmission fluid. Ia berfungsi untuk mengurangkan geseran di dalam kotak transmisi ketika pertukaran gear.

 

 

Harga minyak ATF ini pula bagi botol empat liter adalah bermula daripada RM50. Kebiasaannya, apabila menukar minyak ATF, penapis minyak & gasket turut perlu ditukar dengan anggaran harga bermula RM30. Jika dicampur dengan kos upah, mungkin anda perlu bersedia untuk membayar sebanyak RM150 hingga RM400.

 

5. Minyak Gear 

Minyak gear mempunyai fungsi yang sama dengan minyak ATF iaitu untuk mengurangkan geseran ketika penukaran gear. Minyak gear hanya digunakan untuk kereta yang mempunyai transmisi manual.

 

 

Bagi kos sebotol minyak gear (botol empat liter), ia boleh dibeli pada harga RM100 hingga RM300. Itu cuma harga bagi minyak gear. Upah menggantikan minyak gear pula bermula RM20 dan boleh mencecah hingga RM35.

Selalunya, apabila anda menukar minyak gear, anda perlu menukar sekali penapis dan juga gasket. Ini supaya tiada bendasing daripada takungan minyak masuk ke dalam kotak gear. Harga bagi gasket dan juga penapis minyak gear adalah daripada RM15 hingga RM50.

 

6. Tali Sawat Pemasa (Timing Belt) & Rantai Pemasa (Timing Chain)

Tali sawat pemasa (timing belt) atau rantai pemasa (timing chain) digunakan untuk menyeragamkan pergerakan camshaft yang menggerakkan injap enjin, crankshaft (rod yang menggerakkan silinder), omboh (piston) dan injap dalam enjin. Kedua-dua komponen ini hanya dibezakan dengan jenis bahan yang digunakan – timing chain menggunakan rantai besi manakala timing belt menggunakan getah.

 

 

Harga bagi seunit tali sawat pemasa adalah kira-kira RM200 hingga RM500 manakala bagi rantai pemasa pula adalah daripada RM500 hingga RM1000. Harga ini bagi tali sawat pemasa dan rantai pemasa adalah bergantung kepada jenis kereta, jenis alat ganti, serta jenama alat ganti.

Bagi kos upah pula, anda boleh jangkakan untuk keluarkan belanja sebanyak RM100 hingga RM300 bagi menukar tali sawat pemasa manakala sebanyak RM200 hingga RM500 bagi menukar rantai pemasa.

 

 

Harga kos dan upah mungkin boleh menjadi sedikit mahal jika kereta anda mempunyai struktur enjin yang kompleks, misalnya kereta buatan Jerman yang memiliki struktur enjin yang lebih rumit berbanding kereta Jepun dan tempatan. Jadi pastikan anda mendapatkan sebut harga terlebih dahulu daripada mekanik sebelum meneruskan proses penukaran.

 

7. Cecair Penyejuk (Coolant

Cecair penyejuk memainkan peranan penting kerana ia boleh mengelakkan enjin mengalami panas lampau (over heating) ketika cuaca panas dan mengelakkan enjin membeku ketika cuaca sejuk. Ia diperbuat daripada campuran air dan juga bahan antibeku.

 

 

Berapa harga sebotol coolant? Anda boleh beli pada harga RM20 hingga RM50 untuk sebotol, bergantung pada jenama & jenis cecair penyejuk. Cecair penyejuk ini anda tak perlu untuk ke bengkel pun disebabkan ia boleh dituang terus ke takungan cecair penyejuk di bawah hud.

Melainkan anda ingin mencuci takungan cecair penyejuk, maka anda perlu ke bengkel untuk hasil kerja yang lebih baik. Harganya? Sekitar RM10 hingga RM30 tidak termasuk cecair penyejuk baharu.

 

8. Minyak Brek 

Minyak brek perlu ditukar apabila sudah sampai masanya. Jika minyak brek tidak ditukar secara berkala, ia boleh menyebabkan pad brek berkarat serta brek kurang mencengkam.

Berapa harga bagi sebotol minyak brek? Harganya cukup murah. Cuma berharga daripada RM15 hingga RM60 sebotol. Anda boleh menuang minyak brek ke datang takungan yang ada di bawah hud kereta tanpa perlu bawa kereta anda ke bengkel.

 

 

Untuk prestasi brek yang lebih baik, anda boleh cuci takungan dan saluran brek kereta anda. Anda boleh buat sendiri atau buat di bengkel. Jika anda ingin cuci takungan minyak brek di bengkel, anda perlu mengeluarkan belanja antara RM70 hingga RM100 bergantung kepada model kenderaan anda.

 

9. Penapis Penyaman Udara 

Pernah tak anda rasa penyaman udara anda tak sejuk seperti yang sepatutnya? Atau udara yang keluar dari saluran penyaman udara berbau busuk serta hapak. Jika anda alami ini dalam kereta, besar kemungkinan penapis udara kereta telah kotor dan perlu ditukar.

 

 

Harga penapis udara ini juga murah dan tidak mahal. Ada yang dijual dengan harga tak sampai RM5. Untuk penapis penyaman udara ini, anda boleh tukar sendiri dengan alatan yang tak banyak dan tanpa perlu ke bengkel. Ada banyak tutorial cara tukar penapis penyaman udara di dalam talian seperti ini:

 

10. Penapis Udara 

Untuk membolehkan enjin hidup, petrol perlu dicampurkan dengan udara untuk pembakaran enjin yang lebih bersih. Untuk itu, udara yang dipamkan ke dalam kebuk pembakaran perlulah bersih daripada sebarang bendasing. Maka, penapis udara akan memastikan udara yang disedut untuk pembakaran enjin adalah bersih.

Jika penapis udara tidak ditukar, ia boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian kebuk pembakaran enjin. Dalam banyak-banyak kerosakan yang boleh berlaku, kerosakan pada bahagian enjin adalah antara yang paling mahal sekali. Jadi, sangat penting ya untuk tukar penapis udara ini secara berkala. Penapis udara sepatutnya ditukar setiap 19,000 km atau satu tahun, bergantung kepada pengilang.

 

 

Harga penapis udara pun tak mahal. Ia berharga daripada RM13 hingga RM100. Penapis udara yang mahal biasanya untuk kegunaan perlumbaan. Untuk kereta yang anda gunakan untuk ke tempat kerja, memadailah untuk gunakan yang biasa-biasa saja.

Sama seperti penapis penyaman udara, terdapat penapis udara yang mudah untuk dicabut, dicuci, atau ditukar sendiri, tanpa perlu untuk pergi ke bengkel. Tetapi jika anda tak yakin untuk menukarnya sendiri, kebiasaannya upah menukar penapis udara ini sekitar RM10 hingga RM15 saja di bengkel.

 

11. Bateri 

Tanpa bateri, kereta tak boleh dihidupkan dan digunakan. Bateri kereta ada dua jenis – sel basah dan juga sel kering. Kebanyakan kereta moden kini banyak menggunakan bateri sel kering kerana ia lebih mudah untuk diselenggara.

Jangka hayat bateri ada tiga hingga lima tahun. Selepas tempoh ini, sekalipun kereta tidak menunjukkan apa-apa tanda kerosakan, bateri kereta sepatutnya ditukar kerana ia mempunyai jangka hayat yang tersendiri.

 

 

Antara banyak-banyak komponen kereta yang ada, bateri merupakan antara komponen sering ditipu oleh mekanik atau pusat servis. Ada yang menjual bateri terpakai tetapi didakwa bateri baharu dan lain-lain lagi penipuan.

Harga bateri kereta ini bermula daripada RM100 dan boleh mencecah sehingga RM500. Harganya adalah bergantung kepada jenis bateri dan juga jenama. Bateri ini sangat mudah untuk ditukar – anda cuma perlu tanggalkan dari pendakapnya dan kemudian sambungkannya kepada terminal yang betul

 

12. Palam Pencucuh (Spark Plug)

Kalau tiada palam pencucuh, jangan haraplah kereta anda boleh dihidupkan. Palam pencucuh berfungsi menghidupkan pembakaran campuran minyak dan udara dalam kebuk pembakaran enjin.

Ada bermacam-macam jenis palam pencucuh yang ada dalam pasaran. Harga palam pencucuh ini bermula daripada RM20 hinggalah kepada beberapa ratus ringgit. Pemilihan palam pencucuh ini juga bergantung kepada bagaimana penggunaan kereta anda. Jika untuk pemanduan harian, cukuplah sekadar menggunakan palam pencucuh yang biasa saja.

 

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *