Kalau Kenderaan Tiada Insurans Langgar Anda, Ini Apa Yang Anda Kena Buat!

Nak tahu tak apa perkara yang lebih menakutkan daripada terlibat dalam kemalangan jalan raya? Terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan kenderaan yang tiada insurans kenderaan. Anda dah mula pusing dan pening – macam manalah nak claim insurans nanti!

Adakah anda terpaksa menggunakan insurans anda untuk membaiki kerosakan yang dah terjadi dan mengorbankan NCD insurans kenderaan anda?

Jika anda terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan tanpa insurans, anda masih lagi boleh membuat tuntutan daripada Motor Insurer Bureau of West Malaysia (MIB), hanya jika ada terjadinya sebarang kecederaan ataupun kehilangan nyawa semasa kemalangan.

 

Apa Itu Motor Insurer Bureau of West Malaysia (MIB)?

 

MIB ialah Motor Insurer Bureau of West Malaysia dan bukannya Men In Black. Ia adalah satu badan yang bertanggungjawab membela dengan memberikan pampasan kepada mereka yang terjejas dalam kemalangan dengan pemilik kenderaan yang tidak memiliki perlindungan insurans.

 

 

Ia merupakan antara inisiatif kerajaan bagi memastikan mereka yang menjadi mangsa ini sekurang-kurang mendapat pampasan bagi kemudaratan yang dihadapi oleh mangsa sejak dari tahun 1960-an lagi.

 

Macam Mana Nak Tuntut Daripada MIB? 

Jika anda terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan tanpa insurans, anda boleh memulakan tuntutan daripada MIB. Untuk itu, anda memerlukan beberapa dokumen. Berikut merupakan dokumen yang diperlukan bagi membuat tuntutan daripada MIB:

  • Surat tuntutan rasmi dengan penjelasan yang lengkap tentang kemalangan beserta jumlah ganti rugi
  • Laporan polis
  • Laporan polis daripada saksi
  • Laporan kesihatan (jika perlu)

Sebelum memulakan apa-apa tuntutan daripada MIB, anda harus maklum tentang perkara-perkara ini:

  • Anda boleh buat tuntutan sendiri atau melantik peguam untuk membuat tuntutan bagi pihak anda
  • Anda perlu ada nombor pendaftaran kenderaan yang telah melanggar anda. Ini WAJIB. Jika tiada nombor pendaftaran kenderaan yang melanggar anda, tuntutan anda tidak boleh diteruskan.
  • Tuntutan hendaklah dibuat dalam masa tiga tahun selepas kemalangan berlaku.
  • Pampasan yang diberikan adalah terhadap diri sendiri iaitu jika berlaku kecederaan atau kehilangan nyawa. MIB tidak akan membayar pampasan terhadap kerosakan harta benda ataupun kenderaan.
  • Jumlah pampasan adalah berdasarkan kepada keputusan MIB.

Tuntutan anda hendaklah dihantar kepada alamat:

Wisma PIAM,

No. 150-3, 3rd Floor,

Jalan Tun Sambanthan,

50782, Brickfields,

Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur

Nombor telefon: 03-2274 7395

Anda dikehendaki untuk membayar sebanyak RM100 sebagai upah MIB menjalankan siasatan bagi kes anda. Harus juga diingatkan bahawa polisi MIB juga mengalami perubahan yang boleh menyebabkan kelambatan tuntutan. Oleh kerana itu, anda dinasihatkan untuk sentiasa susulan dengan pihak MIB untuk mengetahui status tuntutan anda.

 

Cara Lain Untuk Menuntut Akibat Kemalangan Dengan Kenderaan Tanpa Insurans

 

Tuntutan daripada MIB merupakan salah satu cara tetapi ia hanya untuk tuntutan bagi diri sendiri iaitu jika berlaku kecederaan kepada diri anda ataupun penumpang di dalam kereta anda.

 

 

Tetapi, jika kemalangan yang berlaku tidak menyebabkan apa-apa kecederaan atau kehilangan nyawa dan hanya kerosakan yang berlaku, apa yang boleh anda lakukan supaya anda tidak terbeban?

Sebenarnya ada. Anda boleh saman mereka atas kapasiti peribadi kerana individu tersebut tidak memandu kenderaan yang tidak dilengkapi dengan insurans yang aktif. Tuntutan ini akan dibawa ke mahkamah dan akan dibicarakan untuk menentukan siapakah yang bersalah.

 

Langkah Untuk Memfaikan Tuntutan Daripada Pemandu/Pemilik Kenderaan Tanpa Insurans 

Ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan dan dapatkan untuk memulakan saman tuntutan daripada pemandu/pemilik kenderaan yang tiada insurans ini.

 

 

1. Maklumat Pemandu/Penunggang Yang Telah Melanggar Anda 

Setelah berlakunya kemalangan, penting untuk anda mengambil butiran maklumat siapa yang telah melanggar anda. Tidak kira sama ada kenderaan yang dia pandu atau tunggang memiliki insurans ataupun tidak.

Ia adalah hak anda untuk mendapatkan maklumat siapa yang telah melanggar anda. Jadi, jika anda dihalang untuk berbuat demikian, anda boleh hubungi polis dengan segera.

Ini ialah senarai maklumat yang diperlukan:

  • Nama
  • Jenis kenderaan
  • Nombor pendaftaran kenderaan
  • Kad pengenalan pemandu yang melanggar anda

2. Gambar Semasa Kemalangan 

Untuk mengukuhkan lagi kes yang dah terjadi, anda juga harus mengambil gambar kenderaan selepas kemalangan terjadi. Ini sebagai bukti bahawa terjadinya kemalangan antara kenderaan anda dengan kenderaan yang telah melanggar anda.

Jika anda ada rakaman daripada kamera papan pemuka, anda boleh kemukakan sekali dalam laporan dan juga tuntutan anda.

Lagi bagus kalau anda boleh rakamkan juga video sejurus kemalangan terjadi. Ini boleh dijadikan bukti seandainya anda ingin membawa si pemandu berkenaan ke muka pengadilan.

 

3. Buat Laporan Polis 

Untuk membolehkan anda membuat tuntutan, laporan polis berkenaan kemalangan ini haruslah dibuat dalam masa 24 jam selepas kemalangan berlaku. Yang terbaik laporan polis dibuat dalam daerah kemalangan tersebut terjadi untuk memudahkan urusan.

Tindakan lambat membuat laporan polis akan menyebabkan kekeliruan dan susah untuk anda membuat tuntutan nanti.

 

4. Maklumkan Kepada Syarikat Insurans Anda 

Jangan lupa juga untuk maklumkan kepada syarikat insurans anda berkenaan kemalangan yang anda hadapi dalam masa tujuh hari. Ini untuk memudahkan sebarang tuntutan insurans sekiranya kerosakan yang terjadi adalah teruk hingga menyebabkan kenderaan anda tidak boleh dipandu.

Berkemungkinan besar, anda perlu menggunakan insurans anda sekiranya ada kerosakan yang teruk terhadap kenderaan anda. Jadi, anda perlu bersedia dengan apa saja kemungkinan yang akan berlaku nanti semasa proses pembaikan kenderaan anda.

 

Sebab Itulah Pentingnya Insurans Kenderaan Anda 

Tidak kisahlah apa saja kenderaan yang anda pandu atau tunggang, insurans kenderaan itu sangat penting untuk melindungi anda dan juga orang sekeliling anda sekiranya anda terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Bayangkan jika anda memandu kenderaan yang tiada insurans dan kemudiannya melanggar kenderaan lain sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada kenderaan berkenaan. Pemilik kenderaan tersebut tidak boleh tuntut daripada insurans kenderaan anda. Kalau tertangkap, anda terpaksa menanggung akibat lain seperti membayar kerosakan yang dah berlaku dan paling teruk?

Anda boleh dipenjarakan!

 

 

Dalam erti kata mudah yang lain, anda sebenar berlaku tidak adil kepada pengguna jalan raya yang lain!

Jadi, pastikan insurans kenderaan anda telah aktif setiap kali anda ingin memandu.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *