Nak Wiper Kereta Tahan Lama? Ikuti Tip Penjagaan Ini!

Wiper kereta atau pengelap cermin kereta adalah komponen penting yang membantu menghilangkan sisa air hujan dan kotoran-kotoran lain seperti debu dan habuk daripada cermin hadapan kereta anda.

Tetapi, baru beberapa hari anda tukar wiper kereta, anda dapati yang ia tidak menghilangkan sisa air dengan baik, mula keluarkan bunyi pelik, dan ada meninggalkan kesan kotoran pada cermin hadapan kereta anda.

Macam mana nak atasi perkara ini? Jom ikuti tip penjagaan wiper kereta yang kami sediakan dalam artikel ini!

 

Kenali Wiper Kereta Anda

Sebelum anda mengetahui lebih lanjut mengenai cara-cara untuk memanjangkan hayat wiper kereta, anda perlu mengenali wiper kereta anda terlebih dahulu.

 

Jenis Wiper Kereta

Ada beberapa jenis wiper kereta yang dijual dalam pasaran – standard, flat, dan hibrid.

 

1. Wiper Kereta Standard

Ini adalah jenis wiper yang selalunya ada pada kebanyakan kereta. Wiper kereta standard dikatakan lebih tahan lama dan lebih berkualiti berbanding jenis wiper kereta yang lain – sebab itulah ia mampu bertahan lama dalam pasaran.

2. Wiper Kereta Flat

Kereta-kereta baharu pula biasanya dilengkapi dengan wiper kereta flat. Wiper jenis ini mempunyai saiz yang lebih kecil, logam fleksibel yang menyokong elemen getah pada wiper, dan bentuk yang lebih aerodinamik.

3. Wiper Kereta Hibrid

Wiper kereta hibrid menggabungkan ciri aerodinamik wiper kereta flat dengan ketahanan wiper kereta standard. Pengelap cermin jenis ini mengekalkan kedudukan bilah getah pada cermin untuk sekali gus menjadikan pergerakan lebih lancar dan senyap terutamanya semasa pada kelajuan tinggi.

Jika kereta anda dilengkapi dengan wiper kereta standard, ia boleh dinaik taraf kepada jenis wiper kereta yang lebih moden (flat atau hibrid). Namun begitu, jika kereta anda dilengkapi dengan wiper kereta jenis flat, ia tidak boleh digantikan dengan wiper standard.

 

tip penjagaan wiper kereta

 

Komponen Wiper Kereta

Berikut adalah senarai komponen utama wiper kereta:

 

Wiper Arm

Bahagian ini biasanya diperbuat daripada logam. Komponen ini memindahkan pergerakan daripada motor kepada bilah wiper;

Penyambung/Connector

Komponen ini menghubungkan bilah wiper dengan wiper arm. Anda disarankan untuk menggunakan jenis penyambung yang sesuai untuk memastikan pergerakan getah pengelap yang senyap dan cekap;

Fleksor Spring/Spring Flexors

Ia berfungsi memastikan bilah wiper mengekalkan tekanan dan sapuan yang sekata;

Getah Wiper

Ia biasanya diperbuat daripada getah asli atau kloroprena untuk memastikan kelenturan maksimum. Elemen getah yang bersentuhan dengan cermin biasanya disaluti dengan lapisan khas dan serbuk grafit untuk mengurangkan geseran dan melancarkan pergerakan.

Spoiler untuk Bilah Wiper

Ada sesetengah wiper yang dilengkapi dengan komponen ini untuk meningkatkan prestasi mengelap pada kelajuan yang lebih tinggi. Ia juga mengurangkan bunyi bising dan boleh memanjangkan jangka hayat bilah wiper.

 

Tips Panjangkan Hayat Wiper Kereta

Biasanya, wiper kereta hanya perlu diganti setiap 12 bulan. Tetapi, bergantung kepada kualiti wiper kereta dan keadaan cuaca, ia mungkin perlu ditukar dengan lebih awal. Jika anda mahu wiper kereta anda tahan lebih lama, berikut adalah langkah penjagaan wiper kereta yang boleh anda lakukan:

 

tip penjagaan wiper kereta

1. Pilih Jenama yang Dipercayai

Terdapat pelbagai jenis wiper kereta yang dijual di pasaran. Pastikan anda pilih jenama yang dipercayai untuk memastikan tahap kualiti, ketahanan, dan jangka hayat wiper kereta yang baik. Kebiasaannya, wiper kereta yang berjenama mampu bertahan lebih lama dalam pelbagai jenis cuaca, jadi walaupun harganya mahal, ia adalah pilihan yang lebih baik berbanding yang murah.

2. Pastikan Cermin Hadapan Sentiasa Bersih

Kotoran seperti habuk, debu, serangga, najis burung, dan banyak lagi yang melekat pada cermin akan mempengaruhi prestasi dan jangka hayat wiper kereta. Lakukan perkara-perkara berikut untuk memanjangkan jangka hayat pengelap cermin kereta:

  • Pastikan cermin hadapan sentiasa berada dalam keadaan bersih;
  • Buang sebarang sisa kotoran yang melekat pada cermin hadapan kereta agar getah wiper tidak rosak.

3. Angkat Wiper Kereta Sekiranya Kereta Diletakkan di Tempat Terbuka

Amalan mengangkat wiper kereta ketika cuaca panas dapat mengelakkan getah wiper daripada rosak atau mengeras akibat terdedah kepada suhu dan kepanasan melampau. Jika boleh, letak kereta anda di kawasan yang teduh untuk mengelakkan cahaya matahari daripada merosakkan getah wiper kereta.

4. Periksa Getah Wiper Kereta Setiap 6 Bulan

Anda disarankan untuk memeriksa dan menggantikan getah wiper kereta anda setiap enam bulan. Jika anda mengesan tanda-tanda seperti pengerasan, lusuh, haus, rosak atau pecah – ia menunjukkan pengelap cermin kereta anda perlu digantikan dengan segera.

Kami harap tip penjagaan wiper kereta yang kami senaraikan dalam artikel ini boleh membantu anda memanjangkan lagi hayat wiper kereta anda.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *