Tetapkan harga lantai e-hailing, tambang mungkin naik – Anthony

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) belum merancang untuk mengenakan kawalan ke atas tambang e-hailing buat masa ini kerana jika harga lantai dikenakan, kemungkinan harga tambang kepada pengguna juga akan meningkat.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, penentuan harga lantai bagi tambang e-hailing adalah sesuatu yang rumit dan perlu seimbang antara pemandu dan pengguna.
Dengan faktor-faktor seperti kesesakan trafik, keadaan cuaca, jarak perjalanan, waktu, permintaan dan penawaran yang berubah-ubah, padanan tempahan secara langsung dengan penawaran perlu diambil kira.

 

“Oleh itu, harga tambang juga disesuaikan mengikut faktor-faktor semasa,” ujarnya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada hari Selasa.
Beliau menyatakan demikian sebagai jawapan kepada pertanyaan Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) yang meminta Anthony untuk memberikan penjelasan mengenai langkah-langkah susulan yang akan diambil oleh MOT selepas pertemuan dengan beberapa pengendali syarikat e-hailing yang beroperasi di Malaysia.

 

Ia khususnya berkaitan dengan peninjauan semula harga tambang yang dikatakan terlalu rendah dan memberi kesan merugikan kepada pekerja dalam sektor gig ekonomi ini. Mengulas lebih lanjut, Anthony menyatakan bahawa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah menjalankan perbincangan dengan pemain utama dalam industri e-hailing dan menerima beberapa maklum balas.

Menurutnya, antara respon yang diterima adalah syarikat-syarikat e-hailing memberikan dorongan kepada rakan-rakan pemandu untuk beroperasi di kawasan-kawasan tumpuan melalui insentif yang ditawarkan oleh mereka untuk memenuhi permintaan semasa.
“Sebagai contoh, salah satu syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing membuat penawaran insentif kepada pemandu melalui notifikasi aplikasi pemandu, seminggu lebih awal. Tawaran insentif yang diumumkan dapat membantu rakan-rakan pemandu merancang waktu operasi yang sesuai dan mencapai jumlah pendapatan yang mereka sasar,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *