Setelah hampir tiga tahun kita menikmati kehidupan normal tanpa sebarang sekatan, sudah tiba masanya kita mula mengamalkan langkah pencegahan yang diperlukan dalam kehidupan harian kita, lebih-lebih lagi dengan peningkatan kes Covid-19 yang semakin ketara sekarang.
Salah satu langkah penting yang boleh diambil untuk melindungi diri dan keluarga anda adalah dengan membersihkan kereta anda secara kerap. Dalam artikel ini, kami senaraikan beberapa tip yang boleh anda praktikkan untuk memastikan kereta anda bersih serta petua membasmi kuman dalam kereta yang boleh anda ikuti.
Barang-barang yang Boleh Digunakan untuk Membersihkan Kereta & Membasmi Kuman
Untuk memastikan kereta anda bersih dan bebas daripada kuman, bakteria, atau virus, berikut adalah beberapa barangan yang anda boleh gunakan dalam proses pembersihan:
1. Kain Lap Pembasmi Kuman/Disinfectant Wipes
Kain lap mikrofiber mungkin berkesan untuk menghilangkan habuk, debu, dan kotoran tetapi kain lap pembasmi kuman mampu membersih dengan lebih menyeluruh sambil membasmi kuman yang ada pada permukaan. Pastikan anda menggunakan kain lap pembasmi kuman yang sesuai digunakan untuk komponen kereta seperti Armor All Disinfecting Wipes.
2. Cecair Pembersih Pelbagai Guna/Multipurpose Cleaner
Bahagian kabin kereta anda mempunyai pelbagai jenis permukaan seperti plastik, kulit, fabrik, krom, dan banyak lagi. Agak sukar jika anda mahu gunakan cecair pembersih yang berbeza-beza untuk setiap jenis permukaan tersebut. Untuk memudahkan kerja anda, sediakan cecair pembersih pelbagai guna yang sesuai digunakan untuk membersihkan semua permukaan dalam kereta seperti MR. KBK Interior Detailer.
3. Penyembur Disinfektan atau Sanitizer Spray
Anda nak pastikan setiap penjuru kereta anda bebas daripada bakteria dan kuman yang berbahaya serta berbau segar? Gunakan produk penyembur disinfektan seperti Aerofume Car Disinfectant Spray.
Cara menggunakannya sangat mudah. Anda cuma perlu hidupkan enjin kereta, buka pendingin hawa pada kelajuan paling tinggi, tekan muncung penyembur sehingga ia mengeluarkan gas, letakkannya dalam kereta, dan biarkan untuk beberapa minit. Selepas gas habis dikeluarkan, buka semua pintu untuk keluarkan gas yang tinggal.
4. Sabun & Air
Campuran sabun dan air adalah cara paling mudah dan selamat untuk membersihkan bahagian dalaman kereta anda. Selain daripada menawarkan pembersihan yang efektif, ia juga dijamin tidak akan merosakkan permukaan pada bahagian dalaman kereta anda.
Tetapi, sila pastikan yang anda menggunakan sabun yang sesuai dan juga jumlah air yang mencukupi dalam campuran anda untuk mengelak daripada meninggalkan kesan tera air pada permukaan.
Sebelum Mulakan Proses Pembersihan & Pembasmian Kuman, Ini Langkah Keselamatan yang Anda Patut Ambil
Pastikan anda mengamalkan langkah-langkah keselamatan yang sepatutnya untuk mengelakkan sebarang insiden lain yang bukan sahaja boleh membahayakan nyawa anda, malah boleh merosakkan komponen sensitif yang ada dalam kereta anda.
Berikut adalah beberapa langkah keselamatan yang boleh diambil semasa anda membersihkan kereta:
- Lindungi tangan anda menggunakan sarung tangan yang sesuai dan pakai pelitup muka sepanjang proses pembersihan dan disinfeksi. Ini bertujuan untuk mengelakkan anda daripada terdedah kepada risiko jangkitan;
- Gunakan cecair pembersih atau disinfeksi yang sesuai;
- Sentiasa baca label sebelum menggunakan sebarang produk pencuci kerana ia mungkin mengandungi bahan yang boleh merosakkan bahagian dalaman kabin kereta;
- Uji produk pencuci yang ingin digunakan pada komponen dalam kabin kereta untuk mengenal pasti sebarang risiko kerosakan (seperti melunturkan warna);
- Jangan campurkan produk pencuci yang berlainan kerana ia mungkin akan menghasilkan tindak balas kimia yang akan mengeluarkan gas yang berbahaya;
- Gunakan kain jenis mikrofiber agar dapat memerangkap kotoran dan debu secara berkesan serta tidak mencalarkan cermin atau permukaan lembut;
- Buka pintu dan tingkap sepanjang masa untuk mengelakkan anda daripada sesak nafas atau terhidu bahan kimia produk pencuci secara berlebihan.
Jangan Lupa Bersihkan Semua Permukaan yang Kerap Disentuh
Dalam kereta, terdapat banyak permukaan yang kerap disentuh oleh pemandu dan penumpang. Semua permukaan ini harus dibersihkan secara berkala kerana ia mungkin tercemar dengan virus dan bakteria yang boleh membahayakan kesihatan anda.
Untuk mengurangkan sebarang risiko jangkitan, berikut adalah senarai permukaan yang anda perlu bersihkan dengan kerap:
- Pemegang pintu – bahagian dalam dan luar;
- Tingkap;
- Stereng;
- Cermin pandang belakang;
- Semua butang, suis, dan tombol yang ada dalam kereta seperti butang Push Start, suis tingkap, tombol lampu isyarat, tombol wiper, suis pendingin hawa, dan lain-lain;
- Tombol gear, brek tangan;
- Dashboard/Papan pemuka;
- Konsol tengah;
- Armrest;
- Dan lain-lain permukaan yang biasa disentuh.