Rugi Besar Kalau Tak Tuntut Insurans Kereta ‘Loss of Use’! Ini Caranya Nak Tuntut Kalau Kereta Kena Masuk Bengkel

Apabila kereta anda ditimpa kemalangan dan tempoh membaiki kereta pula mengambil masa yang sangat lama, ia akan menyusahkan anda. Lebih-lebih lagi jika anda hanya ada satu kereta dan kereta itulah anda gunakan sebagai pengangkutan utama. Disebabkan itu, adanya tuntutan ‘loss of use’ atau tuntutan hilang guna yang boleh mengurangkan beban kewangan anda sepanjang kereta anda dibaiki.

 

Apa Itu Tuntutan ‘Loss of Use’? 

Loss of use atau compensation for assessed repair time (CART) atau tuntutan hilang guna merupakan perlindungan yang memberi pampasan kepada pihak yang diinsuranskan di atas kehilangan penggunaan harta jika harta tersebut tidak boleh digunakan akibat peril yang dinyatakan dalam polisi.

Jadi, apabila anda tidak dapat menggunakan kenderaan anda sepanjang tempoh ia dibaiki, anda boleh membuat tuntutan ‘loss of use’ ini. Jumlah tuntutan ini pula bergantung kepada jenis kenderaan, kapasiti enjin kenderaan serta bilangan hari kenderaan ditinggalkan di bengkel.

Walau bagaimanapun, tuntutan ini hanya boleh dibuat jika anda bukannya pihak yang bersalah dalam kemalangan jalan raya.

 

Cara Kira Tuntutan Pampasan ‘Loss of use

Untuk mengira berapa banyak tuntutan ‘loss of use’ yang anda boleh tuntut, anda boleh merujuk formula di bawah:

Loss of Use (hilang guna) = Kadar Mengikut Resit Tambang Teksi atau Perjanjian Sewa Kereta X Bilangan Hari yang Diperlukan untuk Membaiki Kereta

Kebiasaannya, segala kira-kira bagi tuntutan ‘loss of use’ ini dibuat oleh penaksir (adjuster). Anda juga perlu ingat bahawa kiraan akan dibuat berdasarkan berapa hari yang diperlukan untuk membaiki kenderaan anda dan bukannya berapa lama kenderaan anda berada di bengkel.

 

 

Berapa Banyak Pampasan ‘Loss of Use’ Yang Boleh Saya Dapat?

Bagi pampasan ‘loss of use’ ini, kadarnya bergantung kepada jenis kenderaan serta kapasiti enjin kenderaan anda. Jumlahnya berbeza bagi motosikal, kereta, serta kenderaan berat yang lain. Anda boleh rujuk jadual ini:

 

Kategori KenderaanJenis/Kapasiti EnjinKadar Tuntutan (Per hari)
Kenderaan persendirianSehingga 1500 ccRM30
1500 hingga 2000 ccRM40
Lebih 2000 ccRM50
Kenderaan komersialSehingga satu tanRM40
Lebih satu hingga dua tanRM60
Lebih dua tanRM90
Lori trelerRM120
Bas (persendirian)RM90
Bas lain (ekspres)RM180
TeksiRM40
MotosikalSehingga 250 ccRM10
Lebih 250 ccRM15

 

Untuk tuntutan pampasan ini, ada boleh pilih antara dua. Sama ada tuntutan mengikut hari seperti jadual di atas ataupun tuntutan kos kereta sewa yang anda terpaksa gunakan sepanjang kereta anda berada di bengkel.

Simpan resit kereta sewa atau resit teksi sepanjang ketiadaan kereta anda untuk membuat tuntutan. Pastikan kereta sewa yang anda gunakan itu adalah daripada syarikat kereta sewa yang berdaftar.

 

Cara Nak Tuntut Pampasan Loss of Use’ 

Tuntutan ‘loss of use’ ini dibuat setelah kereta anda siap dibaiki oleh bengkel. Ini apa yang anda kena buat untuk memulakan proses tuntutan ‘loss of use’:

  1. Setelah kereta anda siap, anda boleh maklumkan kepada pihak bengkel bahawa anda ingin membuat tuntutan ‘loss of use’. Pihak bengkel akan menyediakan laporan tentang pembaikan kereta anda beserta dokumen lain yang berkaitan.

 

  1. Hantarkan segala dokumen yang ada termasuklah laporan bengkel, resit kereta sewa, serta lain-lain dokumen yang diperlukan kepada insurans pihak ketiga. Jangan lupa untuk dapatkan pegawai yang akan menguruskan permohonan tuntutan ini.
  2. Buat panggilan susulan setiap dua hingga tiga hari sekali bagi memastikan tuntutan anda diproses.

 

Berapa Lama Kena Tunggu Untuk Pampasan ‘Loss of Use’?

Kebiasaannya, syarikat insurans akan mengambil masa selama 3 hari hingga dua minggu untuk memproses permohonan tuntutan anda.

Ia mengambil masa sedikit memandangkan penaksir akan menilai berapa lama bengkel ambil masa untuk membaiki kenderaan anda. Seperti yang dinyatakan tadi, kiraan tuntutan dibuat berdasarkan berapa lama masa diambil untuk membaiki kereta dan bukannya berapa lama kenderaan anda berada di bengkel.

 

 

Sebagai contoh, jika bengkel perlu memesan alat ganti yang diperlukan untuk membaiki kenderaan anda, tempoh menunggu untuk alat ganti tersebut tidak akan dikira dalam tuntutan yang dibuat.

 

Apa Nak Buat Kalau Tuntutan ‘Loss of Use’ Yang Saya Dapat Sikit Sangat?

Ada beberapa perkongsian daripada beberapa pengguna kenderaan yang mengadu bahawa tuntutan ‘loss of use’ yang mereka dapat sangat sedikit berbanding dengan tempoh yang mereka terpaksa tunggu untuk kenderaan mereka siap.

Setelah dibuat kira-kira, sepatutnya mereka memperolehi jumlah sekian-sekian tetapi mereka hanya memperoleh jumlah yang jauh lebih rendah daripada yang dikira sebelum ini. Langsung tak berbaloi dengan kesusahan yang mereka terpaksa hadapi sepanjang mereka tidak berkenderaan.

Jadi, apa yang anda boleh buat sekiranya perkara ini terjadi kepada anda?

Pertama sekali, anda boleh menghubungi pihak insurans untuk meminta penjelasan dan justifikasi jumlah pampasan yang anda dapat. Jika anda merasakan penjelasan yang diberikan oleh pihak insurans tidak memuaskan hati anda dan penjelasan adalah tidak mengikut panduan tuntutan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), anda boleh membuat aduan.

 

 

Aduan berkenaan segala yang berkaitan dengan insurans boleh dbuat kepada pihak BNM. Aduan boleh dibuat melalui e-mel dengan salinan karbon(C.c) kepada pihak bengkel dan pihak BNM.

 

Pastikan Insurans Kereta Sentiasa Hidup Untuk Ketenangan Semasa Memandu!

Malang tak berbau. Kemalangan boleh terjadi pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Kos nak membaiki kereta yang rosak akibat kemalangan bukannya murah. Itu belum lagi kerugian akibat ketiadaan kereta semasa kereta dibaiki di bengkel.

Disebabkan itulah, insurans kereta perlu sentiasa dipastikan masih aktif sebelum memulakan pemanduan. Kalau insurans kereta dah tamat tempoh, anda kena cepat-cepat perbaharui insurans untuk mengelakkan sebarang masalah timbul nanti.

 

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *