Soalan Wajib Tanya Kepada Pomen Kereta Kalau Tak Nak Kena Tipu

“Aku tengah sedih ni. Semalam kena ketuk dengan pomen bengkel mana tah. Habis RM500 melayang. Lepas tu member aku kata, baiki benda tu tak sampai RM150 pun! Huwaaa…!😭

Pernah dengar perbualan macam ini tak? Atau anda sendiri yang menjadi mangsa dalam situasi ini? Percayalah cakap kami, ini sebenarnya sangat biasa dalam kalangan kita orang Malaysia. Cuba cari di media sosial, berapa banyak hantaran yang berkisar tentang aduan caj baiki kereta yang tak masuk akal.

Kebanyakan daripada rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan dan ilmu yang sangat sedikit tentang kereta – cara untuk mengetahui jenis kerosakan, serta kos yang sepatutnya bagi sesuatu pembaikan kerosakan. Disebabkan itu, banyak bengkel kereta yang mengambil kesempatan dengan ‘ketuk’ orang seperti ini untuk untung yang berlipat kali ganda.

 

Ada satu kes yang tular beberapa tahun lepas, kos pembaikan dan ubah suai menelan kos sehingga RM12,000 tetapi rupanya keretanya tidak habis dibaiki dan mekanik pula lesap dan tak dapat dihubungi.

 

Kebanyakan yang menjadi mangsa ialah wanita yang tidak mempunyai banyak ilmu tentang kereta dan mereka ini lebih senang ditipu. Mereka juga mudah diagah dengan ancaman daripada pomen yang tidak bertanggungjawab menyebabkan mereka hanya mengiyakan saja apa yang keluar daripada mulut pomen. Tahu-tahu, invois akhir jadi empat angka. Sakit tu!

 

Cara Tak Nak Kena Tipu Dengan Pomen 

Sebelum ini, kami pernah berkongsikan tips untuk elak kena tipu di bengkel. Antara salah satu daripada tips yang kami berikan adalah bertanya kepada pomen atau mekanik yang membaiki kereta anda.

Bukannya anda tanya dia, ‘Dah makan ke belum?’ atau ‘Abang dah kahwin?’, bukan!

Ini kami ada kumpulkan soalan-soalan yang boleh anda tanya kepada pomen yang membaiki kereta anda:

 

1. ‘Abang dulu belajar baiki kat mana? Ke belajar sendiri?’ 

 

Ada sesetengah pomen kereta yang belajar ilmu membaiki kereta secara formal daripada institusi politeknik, kolej komuniti, institusi kebajikan, serta institusi swasta yang menawarkan kursus vokasional penyelenggaraan kereta.

Walau bagaimanapun, ada juga pomen yang belajar ilmu membaiki dan servis kereta ini daripada pomen lain secara tidak formal. Segala ilmu yang dia ada adalah berdasarkan cuba jaya sendiri dengan bimbingan pomen lain yang lebih senior.

 

 

Bagi pusat servis rasmi kereta (selalunya jenama mewah), pomen mereka selalunya mempunyai sijil kompetensi daripada syarikat jenama kereta itu sendiri kerana kereta daripada jenama tersebut mungkin tidak boleh dibaiki oleh mekanik biasa. Ada bahagian yang hanya boleh dibaiki dengan alat khas yang hanya ada di pusat servis tersebut saja.

Kalau pomen yang membaiki kereta anda itu ada sekurang-kurangnya sijil, anda tak perlu khuatir kerana sememangnya mereka ini tahu apa yang mereka buat dengan kereta anda.

 

2. ‘Kenapa boleh rosak eh?’

 

Anda jaga kereta anda baik macam manapun, kalau ia nak rosak, ia tetap akan rosak. Masa inilah anda boleh tanya kepada pomen anda, apa punca kerosakan?

Mungkin disebabkan oleh gaya pemanduan? Ataupun disebabkan oleh faktor cuaca?

 

 

Pomen yang bagus sentiasa akan memberikan penerangan bagi membolehkan anda faham situasi yang anda sedang hadapi. Kalau sempat, mintalah sedikit tips cara untuk elakkan masalah yang sama berulang lagi di masa akan datang.

 

3. ‘Boleh tak nak tengok apa yang rosak?’ 

 

Untuk mengelakkan anda dikenakan bayaran yang tak sepatutnya, anda boleh minta izin untuk melihat bahagian mana yang rosak. Tetapi ia bergantung kepada kerosakan yang macam mana.

Jika kerosakan tersebut terjadi pada bahagian enjin atau bawah kereta, takkanlah anda nak masuk ke bawah kereta sekali, kan? Jadi, sekadar dengar penerangan daripada pomen pun dah cukup bagus sebenarnya.

 

An unserviced car increases chances for an accident in Genting Highlands

 

Kalau kerosakan terjadi pada bahagian yang tak susah untuk dicapai, minta izin pomen untuk lihat apa bahagian yang dah rosak. Sekurang-kurangnya anda tahu hanya bahagian itu yang rosak dan hanya bahagian yang rosak saja yang sepatutnya dibaiki.

 

4. ‘Boleh tak nak tengok bahagian apa yang dah diganti?’ 

 

Kalau pembaikan itu melibatkan ada penukaran alat ganti, boleh minta untuk lihat bahagian alat ganti yang telah ditanggalkan.

 

fuel consumption, carsome myth busting

 

Dengan ini, anda boleh tahu sama ada pomen betul-betul buat kerja ataupun tidak. Jika anda terpaksa meninggalkan kereta anda, pesan kepada pomen untuk simpankan bahagian yang dah ditanggalkan.

Kalau pomen tersebut berkeras tidak boleh nak ikut apa yang anda minta, anda mungkin boleh fikir balik nak teruskan atau tak dengan bengkel tersebut.

 

5. ’Abang dah baiki apa? Nak tengok, boleh?’

 

Sejurus selesai kereta dibaiki, apa kata minta pomen tunjukkan apa yang telah dibaiki sebelum anda buat pembayaran atau keluar daripada bengkel. Anggap sajalah ini untuk puaskan hati anda selepas kereta anda dibaiki.

 

 

Bila dah ditunjukkan apa bahagian yang dah dibaiki dan bahagian tersebut berfungsi dengan baik, barulah anda boleh merasa lega.

 

6. ‘Kalau saya nak pilih spare part, boleh ke?’ 

 

Kalau anda mahir dan tahu apa yang anda buat, anda boleh minta untuk pilih alat ganti yang akan digunakan untuk membaiki kereta anda. Kebanyakan bengkel di Malaysia (berdasarkan pengalaman penulis) akan memberikan beberapa pilihan alat ganti yang ada. Ada yang alat ganti asli dan ada juga yang OEM dengan julat harga yang berbeza.

 

 

Anda boleh minta pendapat dan nasihat daripada pomen yang membaiki kereta anda. Anda juga boleh buat carian kilat tentang alat ganti yang ditawarkan. Kalau anda ada rakan atau pasangan yang tahu tentang alat ganti kereta, boleh hubungi untuk minta pendapat mereka.

 

7. ‘Spare part ni ada waranti tak?’ 

 

Sesetengah alat ganti mempunyai jangka hayat tertentu dan lebih cenderung untuk rosak berbanding alat ganti lain. Sebagai contoh tayar kereta. Ada sesetengah jenama kereta yang menawarkan waranti penukaran unit seandainya tayar pancit atau bocor selepas ditukar.

 

 

Tempoh waranti juga berbeza mengikut alat ganti. Ada yang lama dan juga ada yang sekejap. Pastikan anda faham tentang waranti alat ganti ini supaya anda tak perlu keluarkan belanja jika bahagian yang dibaiki itu kembali rosak dalam masa terdekat. Bolehlah anda berjimat dengan memanfaatkan waranti daripada terpaksa keluarkan duit lagi untuk baiki bahagian yang rosak.

 

8. ‘Baiki macam mana ni bang?’ 

 

Kadang-kadang, ada kerosakan kereta yang boleh dibaiki dengan pelbagai cara. Ada yang memberikan solusi jangka masa panjang. Ada juga pembaikan itu cuma cukup untuk kurangkan kesan kerosakan daripada jadi lebih serius.

Pomen yang bagus akan menerangkan pilihan pembaikan yang boleh dibuat beserta kos pembaikan. Berdasarkan penerangan yang dibuat oleh pomen, bolehlah anda buat pilihan berdasarkan penerangan abang pomen tadi.

 

 

Pilihan pembaikan yang terbaik kebiasaannya lebih mahal tetapi ada pomen yang mungkin kesian dan mencadangkan pembaikan yang lebih murah tetapi tidak membaiki secara keseluruhan kerosakan yang terjadi.

Jangan malu untuk bertanya kepada abang pomen apa pembaikan yang bagus untuk kerosakan yang dialami oleh kereta anda.

 

9. ‘Nak invois yang detail, boleh tak?’ 

 

Ini yang selalu orang lupa nak buat iaitu mintak invois terperinci untuk pembaikan yang dibuat. Lagi-lagi jika banyak kerja pembaikan yang dibuat. Yang diminta cuma resit akhir saja.

 

 

Jika anda minta invois yang terperinci, barulah anda boleh tahu berapa kos yang terlibat. Berapa harga alat ganti yang digunakan. Berapa kos upah. Kadang-kadang akan ada caj yang tak sepatutnya ada dimasukkan sekali dalam bil akhir tanpa pengetahuan pelanggan. Di sinilah anda boleh persoalkan bengkel jika ada caj lain yang dimasukkan ke dalam invois akhir.

 

10. ‘Nak check apa yang rosak ni kena bayar tak?’ 

 

Kadang-kadang, ada bahagian yang rosak itu bukannya mudah untuk dicapai. Tak cukup dengan sekadar buka bonet saja. Ada masanya pomen terpaksa membuka komponen lain untuk sampai ke bahagian yang rosak. Semestinya, ia akan mengambil masa dan tenaga untuk itu.

 

To sell car online, the car needs to be inspected first

 

Disebabkan itu, ada bengkel yang mengenakan caj untuk memeriksa bahagian yang rosak. Anda kena ingat, ini cuma caj cuma untuk periksa apa yang rosak. Jadi, sebelum pomen buka apa-apa bahagian kereta, tanya dulu sama ada pemeriksaan yang dibuat akan dikenakan sebarang bayaran atau tidak.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *