Kalau Kereta Anda Bergegar Semasa Memandu, Cuba Periksa 5 Komponen Ini

Pernah tak anda perasan kereta anda bergegar lain macam semasa memandu? Kereta yang bergegar boleh menyakitkan hati sebab ia akan menyebabkan rasa tak selesa semasa memandu yang boleh mengakibatkan sakit belakang dan lenguh-lenguh lagi-lagi kalau anda terpaksa memandu lama.

 

 

Sebenarnya kereta bergegar semasa memandu ini disebabkan oleh beberapa isu dan biasanya ia juga merupakan petanda yang boleh mengakibatkan masalah yang lagi besar kalau tidak dibaiki dengan segera. Berikut merupakan antara komponen yang anda sepatutnya beri perhatian apabila anda merasakan kereta anda bergegar teruk semasa memandu.

 

Tayar 

Cuba perhatikan tayar anda dahulu. Biasanya tayarlah punca kereta bergegar lagi-lagi semasa dipandu laju untuk beberapa sebab.

 

 

Tayar Tak Seimbang 

Apabila ada gegaran setelah anda mula memecut, kemungkinan besar tayar anda tidak seimbang. Mudah saja nak pastikan iaitu dengan mencari titik haus pada tayar anda. Yang bagusnya, masalah ini boleh selesai dengan menyeimbangkan semula tayar anda andai kata masalah ini tidak terlalu serius. Namun jika tayar dah rosak teruk, anda mungkin terpaksa menggantikannya semua sekali.

Untuk menyeimbangkan semula tayar anda kembali, bawa kereta anda ke bengkel dan mekanik akan memeriksa tayar anda untuk mencari bahagian yang hausnya tidak sekata. Pemberat akan ditambah pada bahagian bertentangan tayar untuk menyeimbangkannya kembali. Kosnya cuma RM4-5 setiap tayar untuk penyeimbangan semula jadi periksa tayar anda atau anda mungkin terpaksa keluarkan belanja yang besar untuk tukar tayar baharu.

 

Tayar Tak Cukup Angin

Kalau tayar tak cukup angin, tekanan pada tayar akan jadi tidak sekata. Ini akan menyebabkan kereta anda akan bergegar apabila ia bergerak laju. Putaran yang tak sejajar akan menyebabkan tayar menjadi tidak seimbang dan mengakibatkan anda rasa tak selesa dan tak selamat ketika memandu.

 

 

Sentiasa ingat untuk pam tayar anda dengan tekanan angin yang sesuai untuk mengelakkan gegaran yang berlebihan ataupun tayar meletup semasa memandu!

 

Brek

Kalau kereta anda cuma akan bergegar ketika membrek, gegaran tu mungkin berpunca daripada bahagian brek yang rosak.

 

Rotor Brek Yang Meleding

Apabila rotor brek sentiasa ditekan dengan kuat ketika membrek, ia akan menjadi meleding kerana terlalu panas. Ini menyebabkan rotor brek akan ‘memakan’ pad brek dan mengakibatkan gegaran apabila brek ditekan. Rotor brek yang meleding sepatutnya diganti segera untuk mengelakkan kemalangan berlaku ketika memandu di masa akan datang.

 

Angkup Brek (Brake Caliper) Melekat

Angkup brek (brake caliper) yang rosak boleh menyebab gegaran pada pedal brek dan stereng apabila anda cuba nak membrek. Apabila ini terjadi, anda terbau seperti sesuatu sedang terbakar apabila kereta dah berhenti. Kalau dibiarkan, brek anda akan hilang cengkaman dan kuasa membrek akan jadi kurang.

Kalau anda dah tahu brek kereta anda sudah tak berfungsi seperti yang sepatutnya, jangan lupa untuk servis dan gantikannya dengan segera.

 

Stereng 

Antara punca lain yang boleh menyebabkan masalah gegaran ini ialah sistem stereng

 

Kemudi Kuasa (Power Steering)

Pernah tak terjadi, kalau anda memandu di jalan lurus semuanya okay saja tapi apabila anda nak membelok, kereta mula bergegar? Kalau pernah, mungkin kemudi kuasa (power steering) yang bermasalah. Kalau ini terjadi, periksa takungan cecair kemudi kuasa anda untuk sebarang kebocoran. Takungan boleh dijumpai di ruang enjin tetapi kedudukannya berbeza mengikut model kereta, tetapi anda boleh mencarinya dengan mudah memandangkan penutup takungan akan berlabel dengan ‘Power Steering Fluid’.

Kemudi kuasa memerlukan cecair yang cukup untuk pemanduan yang lancar. Kalau tak cukup, anda boleh hilang kawalan kereta anda dan anda akan rasa sangat susah ketika nak membelok dan seterusnya menyebabkan gegaran.

Anda berisiko untuk merosakkan sistem kemudi kuasa jika anda meneruskan pemanduan dengan kebocoran yang. Segera hantarkan ke bengkel supaya mekanik boleh periksa dan baiki apa yang rosak.

 

Sistem Suspensi

Anda perasan tak yang kereta anda akan bergegar lain macam apabila dibawa pada kelajuan rendah hingga sederhana? Ini mungkin berpunca daripada sistem ampaian (suspension) kereta anda.

 

 

Sistem Suspensi Yang Tak Sejajar (Misaligned)

Kerap terlanggar lubang dan bonggol boleh menyebabkan suspensi kereta anda rosak. Kalau dah rosak teruk, ia boleh menyebabkan suspensi kereta tak sejajar lalu berlakulah gegaran pada stereng.

 

Komponen Yang Dah Haus Dan Longgar 

Selalunya punca kereta anda bergegar ialah tayar tetapi kadang-kadang ia juga boleh disebabkan oleh komponen yang dah longgar dan haus dalam sistem suspensi kereta anda.

Komponen seperti sendi bebola (ball joints), sesendal lengan kawalan (control arm bushing) ataupun bearing yang dah terlalu haus dan lusuh boleh menjadi punca dan gegaran yang terjadi boleh jadi satu petanda yang sistem suspensi anda sedang rosak.

 

 

Berbincanglah dengan mekanik dan periksa komponen ini untuk memastikan semuanya masih bersambung dengan betul dan gantikan mana yang telah haus.

 

Enjin

Enjin yang berdetar(rattles) boleh menjadi mimpi buruk kepada pemilik kereta terutamanya jika ia datang sekali dengan gegaran yang kuat daripada bahagian enjin. Anda mungkin nak periksa bahagian-bahagian ini kalau anda perasan enjin anda bergegar lebih daripada yang sepatutnya semasa tidak bergerak ataupun sedang dalam pemanduan.

 

Palam Pencucuh (Spark Plug) Rosak

Palam pencucuh (spark plug) membantu menghidupkan enjin kereta anda dan memastikan ia kekal hidup dengan mencipta percikan elektrik untuk mencucuh campuran udara dan bahan api dalam kebuk pembakaran supaya omboh enjin boleh bergerak dan terus hidup. Apabila pedal pecut dipijak atau apabila anda mencapai satu kelajuan tertentu dan kereta anda bergegar teruk, palam pencucuh anda mungkin dah rosak kerana ia tidak lagi boleh menghasilkan percikan elektrik dengan baik.

 

 

Dengan palam pencucuh yang telah rosak, silinder dalam enjin mungkin akan semput ketika ia hidup atau tidak bergerak. Periksa palam pencucuh dan kalau perlu, terus tukar. Periksa juga pendawaian untuk memastikan semuanya masih bersambung dengan betul atau kalau ada yang perlu ditukar.

 

Tali sawat yang rosak

Pelbagai komponen penting enjin bergantung kepada tali sawat untuk berfungsi dengan lancar. Kalau tali sawat retak sedikit saja, ia boleh menyebabkan enjin kereta anda bergetar. Jika tali sawat longgar atau rosak, beberapa komponen seperti kipas dan omboh (piston) tidak dapat berfungsi dengan betul menyebabkan gegaran dan bunyi berdetar. Pastikan periksa tali sawat kalau-kalau ia perlu ditukar.

 

 

Pendakap Motor Longgar

Pendakap motor berfungsi menyokong enjin untuk memastikan ia kekal pada kedudukannya dalam ruang enjin dan menyerap hentakan apabila kereta sedang bergerak. Apabila pendakap ini rosak atau sudah haus, ini akan menyebabkan enjin bergegar dengan teruk apabila kereta tidak bergerak atau sedang dipandu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *