Macam Mana Nak Pilih Minyak Hitam yang Terbaik untuk Kereta Anda?

Kalau badan manusia memerlukan darah untuk berfungsi dengan baik, enjin kereta anda pula memerlukan minyak hitam untuk memastikan semua komponen enjin berfungsi pada tahap optimum apabila kereta dipandu.

Malangnya, ramai yang sering terlupa betapa pentingnya memilih jenis minyak hitam kereta yang sesuai. Memilih minyak enjin yang betul bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi enjin, tetapi juga dapat memastikan kereta anda dapat berfungsi dan berjalan dengan lancar.

Tapi macam mana nak kenal pasti jenis-jenis minyak hitam kereta yang ada di pasaran dan bagaimana pula nak pilih yang terbaik untuk kereta anda? Kami kongsikan beberapa tips untuk anda di sini.

 

Jenis-jenis Minyak Hitam Kereta yang Ada di Pasaran

 

Sebelum anda mengenal pasti macam mana nak pilih minyak hitam kereta yang sesuai, anda perlu mengetahui apa jenis minyak hitam kereta yang boleh didapati di pasaran terlebih dahulu.

 

jenis minyak hitam, person check engine oil using dipstick

 

Berikut adalah senarai jenis minyak hitam kereta yang boleh didapatkan di kedai alat ganti:

 

1. Minyak Hitam Mineral

 

Minyak hitam mineral adalah jenis minyak pelincir yang didapati daripada petroleum mentah. Ia tidak mengandungi sebarang bahan sintetik tambahan dan harganya juga lebih rendah berbanding minyak sintetik. Tetapi ia perlu diganti dengan lebih kerap kerana jarak perjalanan yang dicadangkan untuk minyak ini adalah dalam sekitar 5,000 km.

Minyak hitam mineral biasanya lebih sesuai digunakan untuk kereta lama yang tidak memerlukan prestasi tinggi atau kereta yang jarang digunakan. Ia adalah pilihan yang paling berpatutan kerana harganya lebih murah berbanding minyak hitam semi sintetik atau sintetik penuh.

 

2. Minyak Hitam Semi Sintetik

 

Minyak hitam semi sintetik dihasilkan melalui campuran antara minyak hitam mineral dan minyak hitam sintetik. Ia lebih pekat daripada minyak hitam sintetik penuh dan dirumus khas untuk memberikan perlindungan yang lebih baik kepada enjin kereta anda. Jarak perjalanan yang sesuai untuk minyak hitam semi sintetik adalah sekitar 7,000 hingga 8,000 km.

Ia juga menawarkan prestasi yang lebih baik berbanding minyak hitam mineral pada harga yang lebih berpatutan daripada minyak hitam sintetik penuh. Minyak hitam semi sintetik adalah pilihan yang popular bagi pemilik kereta yang mahukan prestasi yang baik tanpa perlu membayar harga yang tinggi. Minyak hitam ini sangat sesuai untuk kereta yang digunakan secara harian.

 

3. Minyak Hitam Sintetik Penuh

 

Minyak hitam sintetik penuh pula dihasilkan sepenuhnya daripada bahan sintetik dan tidak mengandungi sebarang minyak hitam mineral. Minyak hitam jenis ini tahan lebih lama lama dan memberikan perlindungan yang sangat baik kepada enjin kereta anda. Jarak perjalanan yang dicadangkan untuk minyak hitam sintetik penuh adalah sehingga 10,000 km.

Bagi pemilik kereta moden yang mengutamakan prestasi enjin, memerlukan perlindungan maksimum, dan mahukan pengurangan geseran dalam enjin, minyak hitam sintetik penuh adalah pilihan yang terbaik. Walaupun harganya lebih tinggi berbanding jenis minyak hitam lain, ia memberikan faedah jangka panjang untuk kereta moden yang dilengkapi dengan enjin canggih.

 

Tips Memilih Minyak Hitam yang Paling Sesuai untuk Kereta Anda

 

1. Semak Buku Manual Kereta untuk Ketahui Jenis Minyak Hitam yang Sesuai

Walaupun daripada jenama yang sama, setiap model kereta mempunyai keperluan minyak hitam yang berbeza. Kereta moden biasanya dilengkapi dengan enjin yang canggih, jadi ia memerlukan minyak hitam yang telah diformulasikan untuk menyokong teknologi ini.

Oleh itu, semak buku manual kereta untuk mengetahui minyak hitam apa yang sesuai dengan model kereta anda. Minyak hitam yang sesuai akan memastikan prestasi enjin yang optimum.

 

2. Ambil Kira Tabiat Pemanduan & Persekitaran

Faktor persekitaran dan tabiat pemanduan anda juga memainkan peranan penting dalam pemilihan minyak hitam. Cuaca, keadaan jalan, dan cara anda memandu boleh memberi tekanan yang berbeza kepada enjin kereta yang akan memberi kesan kepada penggunaan minyak hitam.

 

Tahap Kelikatan Minyak Hitam Tinggi Lebih Sesuai untuk Cuaca Panas

Pilih minyak hitam dengan kelikatan yang sesuai untuk suhu tinggi. Tahap kelikatan yang lebih tinggi (nombor kedua yang lebih tinggi) seperti 10W-40 atau 15W-40 lebih sesuai untuk cuaca panas seperti di Malaysia.

 

Minyak Hitam Semi Sintetik & Sintetik Lebih Sesuai untuk Jalan yang Mencabar

Jika anda sering memandu melalui jalan berbukit dan berbatu, minyak hitam semi sintetik dan sintetik adalah pilihan terbaik untuk kereta anda. Ia mempunyai aditif tambahan yang mampu melindungi komponen enjin anda dengan lebih baik apabila berfungsi dalam keadaan ekstrem.

 

jenis minyak hitam, car in woods

 

Begitu juga jika anda sering memandu pada kelajuan tinggi di jalan raya. Minyak hitam semi sintetik dan sintetik lebih sesuai digunakan untuk enjin anda kerana ia menawarkan kelikatan yang stabil pada suhu tinggi dan pergerakan komponen enjin yang lebih lincir.

Selain itu, kereta yang sering dipandu mungkin memerlukan penggantian minyak hitam yang lebih kerap, manakala kereta yang jarang digunakan pula memerlukan penggantian minyak hitam mengikut jadual yang telah ditetapkan bagi mengekalkan prestasi enjin kereta.

 

3. Kenal Pasti Tahap Kelikatan Minyak Hitam yang Sesuai

 

Apabila memilih minyak hitam, anda mungkin akan ternampak kod yang menggabungkan nombor dan huruf tertulis pada bungkusan minyak hitam tersebut. Nombor ini menggambarkan kelikatan minyak pada suhu rendah dan tinggi seperti berikut:

  • Nombor pertama yang berakhir dengan huruf ‘W’ merujuk kelikatan minyak hitam pada suhu sejuk (winter) – ketika enjin dihidupkan;
  • Nombor kedua pula merujuk kepada kelikatan minyak hitam pada suhu operasi normal.

Minyak hitam yang mempunyai nombor pertama yang rendah (misalnya, 5W) adalah lebih cair pada suhu rendah dan dapat menghidupkan enjin dengan baik pada suhu sejuk (suhu biasa). Sementara itu, minyak hitam dengan nombor pertama yang lebih tinggi (misalnya, 15W) adalah lebih sesuai untuk suhu yang sangat rendah.

Minyak hitam dengan nombor kedua yang lebih tinggi (misalnya, 10W-40) adalah lebih pekat dan sesuai untuk enjin berkuasa tinggi atau suhu tinggi. Minyak dengan penilaian rendah pada nombor kedua (misalnya, 5W-20) adalah lebih sesuai untuk enjin berkuasa rendah atau suhu sejuk.

Pemilihan minyak hitam dengan gred yang sesuai adalah penting untuk prestasi dan perlindungan enjin yang optimum. Sila rujuk buku manual kereta untuk menentukan gred minyak hitam yang disyorkan untuk kereta anda.

 

4. Gunakan Minyak Hitam yang Mempunyai Sijil

 

Penggunaan minyak hitam yang memiliki sijil adalah penting dalam menilai kualiti dan piawaian minyak tersebut. Sijil ini biasanya dikeluarkan oleh badan atau organisasi yang mengawal standard dan piawaian minyak hitam seperti berikut:

  • API (American Petroleum Institute)
  • ACEA (European Automobile Manufacturers Association)
  • ILSAC (International Lubricant Specification Advisory Committee)
  • JASO (Japanese Automotive Standards Organization)

Sijil ini menunjukkan bahawa minyak hitam telah diuji dan mematuhi standard piawaian yang telah ditetapkan. Ini juga bermakna minyak hitam tersebut telah diuji untuk prestasi dan keselamatan yang terbaik.

Oleh itu, apabila memilih minyak hitam, pastikan ia mempunyai sijil piawaian yang sah agar kualiti dan kesesuaian minyak tersebut untuk kenderaan anda terjamin.

 

jenis minyak hitam, bottle of engine oil being poured into engine

 

Memilih minyak hitam yang betul adalah salah satu keputusan penting untuk menjaga kesihatan dan prestasi enjin kereta anda. Sekiranya minyak hitam dipilih dengan bijak, enjin anda akan berfungsi secara optimum dalam pelbagai keadaan, dan anda boleh menikmati pemanduan yang lebih selamat dan efektif.

Jadi, jangan sekali-kali meremehkan peranan penting minyak hitam dalam menjaga enjin kereta anda, kerana kesannya boleh memberi impak besar pada pengalaman pemanduan anda.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *