Tanda-Tanda Sudah Tiba Masanya Untuk Menjual Atau Menukar Kereta Anda

Tiada yang kekal lama dalam kehidupan, termasuklah kereta anda yang setia berkhidmat bertahun lamanya. Walaupun dengan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menjaga kereta, pengilang biasanya menganggarkan kereta mereka dapat bertahan dalam purata sehingga sepuluh tahun. Oleh itu, apabila masanya sudah tiba, anda perlu menjual kereta lama anda.

Tetapi, bilakah masa yang tepat untuk melakukannya? Bagaimana pula untuk mengenalpasti bahawa sudah tiba masanya untuk menukar kereta? Berikut adalah beberapa faktor yang boleh anda pertimbangkan.

 

 

Menaik Taraf Kereta Anda

Sekiranya anda telah memandu kereta yang sama sejak sepuluh tahun yang lalu, mungkin sudah tiba masanya untuk anda menaik taraf kereta anda. Kereta baharu didatangkan dengan teknologi moden yang dapat meningkatkan tahap keselamatan atau memudahkan pemandu.

Penjimatan minyak yang lebih baik juga merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan bila masa yang sesuai untuk menjual kereta model lama yang kurang cekap, terutama sekali jika anda kerap memandu jarak jauh.

Setelah menaik taraf kepada kereta baru, kereta anda yang lama bolehlah dijual. Jika tidak, anda akan terbeban dengan aset yang nilainya kian menurun. Jualkannya secepat mungkin supaya anda boleh memaksimumkan nilainya.

Sebab lain mengapa anda mungkin mahu menjual kereta anda selepas menaik taraf adalah ruang yang tidak mencukupi. Tempat letak kenderaan sudah menjadi sesuatu yang premium, terutamanya jika anda tinggal di bandar. Jika anda (atau pasangan anda) tidak lagi menggunakan kereta lama, anda mungkin mahu menjualnya jika anda tidak mempunyai ruang untuk menyimpannya.

 

 

 

 

Menjual Kereta yang Masih dalam Keadaan Baik

Di samping itu, menjual kereta anda ketika ia dalam keadaan yang masih baik juga merupakan satu keputusan yang bijak. Dengan cara ini, anda boleh mendapatkan nilai jualan yang baik untuk kereta anda dan dapat mengelakkan dari menghadapi masalah kereta yang mungkin berlaku di masa hadapan.

Menjual kereta yang memerlukan banyak pembaikan adalah sangat leceh. Anda akan mengalami kesukaran dalam mencari pembeli yang berpotensi dan mereka yang berminat pula akan meminta harga yang jauh lebih rendah dari biasa. Sebelum nasi menjadi bubur, lebih baik jual sahaja kereta anda semasa ia masih elok untuk dapatkan harga yang lebih tinggi.

Mileage juga dapat mempengaruhi masa yang sesuai untuk menjual kereta anda. Selepas mencapai mileage tertentu, nilai kereta anda akan menurun dengan drastik. Kalau boleh, jual kereta anda sebelum ia mencecah 100,000 kilometer, kerana waranti pengeluar biasanya hanya meliputi sehingga tempoh tersebut.

Jika kereta anda telah mencecah 150,000 kilometer, ini akan menjatuhkan nilai kereta anda dengan lebih banyak kerana kereta dengan jumlah mileage sebanyak ini dianggap sebagai kereta lama, menjadikannya lebih sukar untuk dijual.

 

Perubahan Gaya Hidup

Dulu, anda masih bujang dan anda cuma mahu nampak bergaya dengan kereta kompak anda. Ia kecil, laju, dan tidak memerlukan tempat letak kereta yang besar. Tambahan pula, ia juga jimat minyak, jadi anda tidak perlu berbelanja banyak setiap kali keluar.

Kini, anda sudah pun berkahwin dan berkeluarga. Kereta kompak anda kini kelihatan sempit dan tidak mampu untuk memuatkan barang dapur, barangan bayi, dan kereta sorong yang anda perlu bawa setiap kali keluar.

Lebih teruk lagi, perjalanan pulang ke kampung setiap tahun juga menjadi tidak selesa kerana ruang yang sempit. Keselamatan anda dan ahli keluarga juga sedikit terganggu apabila memandu kereta yang kecil.

Kehidupan kita akan sentiasa berubah, begitu juga dengan jenis kereta kita. Mengikut contoh di atas, sudah tiba masanya untuk menukar kereta kompak tersebut dengan sesuatu yang mempunyai lebih banyak ruang mungkin MPV atau SUV yang sesuai dengan gaya hidup anda sekarang. Pokok pangkalnya, kereta merupakan satu alat (walaupun mahal harganya) yang perlu disesuaikan dengan gaya hidup kita, bukan sebaliknya.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *