Bilakah Masa Terbaik Untuk Membeli Kereta?

Membeli kereta merupakan satu keputusan kewangan yang besar dan ia tidak seharusnya dilakukan dengan tergesa-gesa. Mengambil masa anda untuk mempertimbangkan pilihan model, harga, dan lain-lain adalah keputusan yang bijak sebelum membelanjakan wang hasil titik peluh anda.

Tetapi, ada juga masa yang tertentu di mana anda boleh dapatkan tawaran terbaik semasa membeli kereta. Jadi, jika anda sedang memikirkan untuk membeli sesebuah model kereta dan masa yang diperkatakan sudah menjelang tiba, apa salahnya jika anda teruskan dengan keputusan tersebut kan?

 

Pada Hujung Bulan

Seperti kebanyakan perniagaan, pengedar kereta dan eksekutif jualan mempunyai sasaran jualan bulanan yang perlu dicapai. Apabila hujung bulan semakin hampir, mereka mungkin akan menawarkan pelbagai promosi kepada anda, terutamanya jika sasaran jualan mereka masih belum dicapai.

Tawaran yang diberikan mungkin datang dalam bentuk diskaun atau hadiah percuma seperti servis percuma atau baucar petrol. Taktik yang anda boleh gunakan untuk dapatkan promosi ini adalah dengan memandu uji kereta yang anda minati pada awal bulan, ambil sedikit masa untuk pertimbangkan pembelian anda dan kemudian datang semula pada hujung bulan untuk membelinya.

 

Pada Hujung Tahun

Sama seperti sasaran jualan akhir bulan, pengedar kereta juga mempunyai sasaran jualan akhir tahun untuk dicapai. Bonus akhir tahun merupakan insentif yang sangat lumayan bagi pengedar sehingga mereka sanggup menawarkan diskaun yang melampau untuk menarik pembeli.

Tambahan pula, anda mungkin boleh menerima tawaran hebat bagi kereta model lama kerana ia perlu dijual segera untuk memberi ruang kepada model yang lebih baharu. Jika anda agak fleksibel mengenai warna dan kemasan yang ditawarkan, anda boleh dapatkan tawaran yang sangat baik bagi model yang lama, terutama sekali jika ia akan diganti dengan model baharu tak lama lagi.

 

Semasa Musim Perayaan

Pengedar dan jenama kereta selalunya akan menjalankan promosi istimewa apabila musim perayaan kian hampir. Antara sambutan perayaan yang dipenuhi dengan promosi dari pengedar kereta termasuklah Hari Raya, Tahun Baharu Cina, dan juga Hari Kemerdekaan.

Jualan musim perayaan ini akan menawarkan diskaun untuk menarik perhatian pembeli, dan ia sememangnya berbaloi terutama sekali jika anda berminat untuk membeli kereta. Kalau boleh, adalah lebih baik jika anda bertahan sehingga ke akhir tahun untuk menikmati tawaran yang lebih menarik.

 

Jika Anda Memerlukan Kereta, Buat Perancangan Terlebih Dahulu

Masa yang terbaik untuk membeli kereta adalah apabila anda yakin dan pasti yang anda memerlukan kereta baharu. Sebagai contoh, jika kereta yang anda sedia ada sudah uzur, masanya sudah tiba untuk anda menukarnya. Atau jika bilangan ahli keluarga anda semakin bertambah, dan kereta hatchback anda kini terlalu sempit untuk memuatkan tiga anak dan juga pasangan anda.

Apabila anda cuba untuk dapatkan kereta baharu dengan tergesa-gesa, anda membiarkan diri anda terdedah kepada tekanan mental. Anda mungkin tidak dapat berfikir dengan jelas dan memanfaatkan tawaran yang ada kerana anda terlalu mahukan sebuah kereta.

Ditambah pula dengan keadaan terkini pasaran kereta baharu, di mana pengeluaran berkurangan disebabkan pandemik dan masalah bekalan semikonduktor bermaksud pelanggan akan menghadapi masalah seperti masa menunggu yang lama untuk mendapatkan kereta, kenaikan harga kereta, atau kedua-duanya sekali.

Keadaan ini dijangka akan berlarutan selama beberapa bulan lagi sementara rantaian bekalan mula kembali ke normal. Ini adalah salah satu sebab mengapa membeli kereta terpakai adalah alternatif yang bijak kereta sudah tersedia untuk anda dan ia juga jauh lebih berpatutan berbanding dengan kereta baharu.

Jika anda memulakan proses pembelian lebih awal, anda boleh pilih model yang anda mahukan, tetapkan bajet, dan dapatkan pembiayaan jika perlu. Oleh itu, jika anda memerlukan kereta dalam masa yang terdekat, perancangan awal dan perbelanjaan yang bijak pasti akan membuahkan hasil yang baik dalam usaha anda untuk membeli kereta.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *