Sebagai ibu bapa dan penjaga, memastikan keselamatan anak anak adalah keutamaan kita setiap masa. Namun, dalam kesibukan menghadapi kehidupan seharian, agak mudah untuk kita terlepas pandang aspek keselamatan kanak-kanak, terutama sekali apabila memilih untuk meninggalkan mereka sendirian dalam kereta.
Setiap tahun, ada sahaja kes-kes menyedihkan di mana kanak-kanak kehilangan nyawa mereka kerana ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kereta. Oleh itu, di sini kami ingin menekankan kesan negatif yang mungkin berlaku apabila kanak-kanak ditinggalkan dalam kereta dan juga tips untuk bantu anda mengelakkan perkara tersebut.
Apa Kesannya Jika Kanak-Kanak Ditinggalkan Bersendirian Dalam Kereta?
Serangan Strok Haba & Dehidrasi
Malaysia terkenal dengan iklim tropika, di mana cuaca panas dan cerah sepanjang tahun. Tahukah anda bahawa suhu dalaman kereta yang diparkir boleh meningkat sehingga 10 darjah Celsius dalam hanya beberapa minit sahaja? Cuaca panas Malaysia akan menjadikan ruangan kereta yang tertutup berfungsi seperti ketuhar dan akan memerangkap haba secara berterusan.
Apabila suhu meningkat terlalu tinggi, ianya sangat memudaratkan bagi kanak-kanak kerana badan mereka tidak mampu menyeimbangkan haba seperti badan orang dewasa dan akibatnya mereka berisiko diserang strok haba yang akan mengancam nyawa.
Ini akan membawa kepada dehidrasi yang akan memberi kesan buruk pada kesihatan mereka. Kehilangan cecair dari badan boleh menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit dan menjejaskan fungsi organ penting dalam badan seperti hati, buah pinggang, dan juga otak. Pada tahap yang paling teruk, ia boleh membawa kepada kematian!
Risiko Berlaku Kecederaan & Kemalangan
Pernah terjadi satu kemalangan yang tular dalam Facebook di Singapura pada Ogos 2022, di mana seorang budak lelaki yang ditinggalkan dalam kereta BMW X3 dengan enjin dihidupkan telah memandu kereta tersebut lalu melanggar sebuah kereta Lexus yang diparkir di hadapannya! Ini merupakan salah satu insiden yang mungkin berlaku apabila kita meninggalkan kanak-kanak sendirian di dalam kereta tanpa pengawasan orang dewasa.
Kanak-kanak sebenarnya boleh belajar tentang konsep asas pemanduan seperti menghidupkan kereta, memecut, dan membrek secara tidak langsung hanya dengan memerhatikan tabiat pemanduan ibu bapa mereka.
Jadi, apabila mereka tidak diawasi semasa di dalam kereta, mereka pasti akan cuba meniru perbuatan yang selalu dilakukan oleh ibu bapa tanpa mengetahui akibatnya.
Tindakan Undang-Undang Akan Dikenakan Terhadap Ibu Bapa
Undang-undang di Malaysia melarang ibu bapa meninggalkan kanak-kanak seorang diri di dalam kereta. Ia adalah satu kesalahan yang serius dan boleh membahayakan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Mengikut Akta Kebajikan Kanak-kanak 2001, orang dewasa bertanggungjawab perlu memastikan keselamatan kanak-kanak dijaga dengan baik. Meninggalkan kanak-kanak seorang diri di dalam kereta boleh menyebabkan bahaya seperti kepanasan, kekurangan oksigen, atau risiko diculik. Kesalahan ini boleh dihukum dengan denda, penjara, atau kedua-duanya sekali.
Oleh itu, penting bagi semua ibu bapa dan penjaga kanak-kanak di Malaysia untuk mematuhi undang-undang ini dan sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita yang tercinta.
Tip Untuk Menjamin Keselamatan Kanak-Kanak
Kami yakin tiada ibu bapa atau penjaga di luar sana yang mahu meninggalkan anak-anak mereka bersendirian di dalam kereta, melainkan dalam keadaan yang terdesak.
Di sini kami senaraikan beberapa penyelesaian praktikal untuk membantu anda menjamin keselamatan anak-anak anda.
1. Gunakan Perkhidmatan E-Hailing atau Pengasuh Dalam Talian
Sama ada nak beli kereta terpakai atau nak beli barangan runcit, semuanya boleh dilakukan melalui telefon pintar anda. Jadi, apa kata anda gunakan kemudahan teknologi ini untuk membantu anda menjalani aktiviti harian bersama anak-anak anda dengan selamat?
Dengan perkhidmatan e-hailing atau pemandu persendirian seperti Grab atau Buddy Driver, anda boleh dapatkan khidmat pemandu yang telah berdaftar dan boleh dipercayai untuk membawa anda dan anak anda ke mana-mana tempat yang ingin dituju.
Malah, jika anda memerlukan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang selamat, anda juga boleh gunakan aplikasi jagaan bayi dalam talian seperti Kiddocare atau Sitly untuk menempah pengasuh berdaftar yang berkelayakan untuk membantu menjaga anak-anak semasa anda menyelesaikan urusan harian anda.
2. Bina Sistem Sokongan Antara Ibu & Bapa
Komunikasi dan sokongan sesama ibu bapa adalah penting dalam memastikan keselamatan anak-anak. Tugas menjaga anak-anak tidak seharusnya diberikan kepada satu pihak sahaja.
Ibu bapa yang bertanggungjawab, saling membantu antara satu sama lain, dan sentiasa bersikap terbuka dalam hal menguruskan keluarga akan memastikan tugas menjaga anak-anak lebih lancar, selamat, dan seronok untuk dilakukan bersama. Jadi, jangan segan untuk bantu pasangan anda dan saling ingat-memperingati antara satu sama lain.
Membina rangkaian sokongan bersama ibu bapa lain juga penting untuk mencipta sistem di mana para ibu bapa boleh membantu antara satu sama lain apabila diperlukan. Ini akan menjamin keyakinan anda dalam usaha untuk menjamin keselamatan kanak-kanak.
3. Letak Kunci Kereta Di Tempat Selamat
Dalam usaha anda untuk menjamin keselamatan anak-anak, satu perkara penting yang boleh anda lakukan adalah dengan meletakkan kunci kereta di tempat yang selamat daripada kanak-kanak.
Simpan kunci kereta di tempat tinggi atau dalam laci yang berkunci agar ia sukar untuk dijumpai oleh anak-anak. Tapi, jangan sampai anda pula yang susah nak cari kunci kereta!
Paling penting, jangan sekali-kali tinggalkan anak anda bersendirian di dalam kereta, sama ada kunci ada atau tidak.
Awasi Anak-Anak Anda Setiap Masa!
Ingatlah, sebagai ibu bapa dan penjaga, kita wajib bertanggungjawab atas keselamatan anak-anak kita. Meninggalkan mereka sendirian dalam kereta adalah tindakan yang sangat berisiko dan boleh membawa kepada kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Sebelum buat apa-apa keputusan, utamakan keselamatan kanak-kanak terlebih dahulu. Ayuh kita sama-sama berusaha untuk lindungi anak-anak kita daripada bahaya yang boleh dielakkan ini.