Nikel Atau Iridium: Palam Pencucuh Yang Mana Sesuai Untuk Kereta Anda

Palam pencucuh adalah komponen penting bagi enjin kereta, dan ia ada pelbagai jenis. Mengetahui jenis palam pencucuh yang terbaik untuk kereta anda adalah penting untuk memastikan prestasi optimum pemanduan.

 

Palam pencucuh adalah salah satu bahagian penting dalam sistem pembakaran enjin kereta. Terdapat beberapa jenis palam pencucuh yang biasa digunakan dalam pasaran seperti palam pencucuh tembaga nikel, palam pencucuh platinum, dan palam pencucuh iridium.

 

Jenis-jenis Palam Pencucuh Yang Ada Dijual 

Terdapat pelbagai jenis palam pencucuh yang dijual di pasaran. Apa yang membezakannya ialah logam yang digunakan pada bahagian elektrod. Mengenal pasti jenis palam pencucuh dalam kereta anda adalah penting untuk penyelenggaraan dan servis yang betul.

 

1. Palam Pencucuh Nikel Tembaga

Palam pencucuh tembaga nikel merupakan jenis palam pencucuh yang paling biasa digunakan kerana harganya yang murah dan boleh bertahan untuk 20,000-30,000 km.

 

Elektrod palam pencucuh nikel tembaga ini diperbuat daripada nikel manakala bagi teras dalaman pula diperbuat daripada tembaga. Disebabkan tembaga mempunyai takat lebur yang rendah, ia mempunyai ketahanan yang rendah terhadap haba yang tinggi.

Ia paling mudah didapati dan juga dijual pada harga yang murah.

 

2. Palam Pencucuh Platinum

Palam pencucuh platinum pula menggunakan elektrod yang diperbuat daripada platinum, sejenis logam mahal yang tahan lasak. Palam pencucuh platinum mempunyai jangka hayat yang lebih lama daripada palam pencucuh tembaga nikel, dan juga menghasilkan percikan dengan haba yang lebih tinggi. Ini dapat mencegah pengumpulan karbon pada elektrod.

 

 

Palam pencucuh platinum ada dua jenis: platinum tunggal dan dwiplatinum. Palam pencucuh platinum biasa hanya memiliki elektrod tengah yang diperbuat daripada platinum dengan elektrod bumi diperbuat daripada nikel. Palam pencucuh dwiplatinum memiliki lapisan platinum pada kedua-dua elektrod tengah dan bumi.

Palam pencucuh platinum mempunyai beberapa kelebihan, antara lain:

  • Mempunyai jangka hayat yang lebih lama daripada palam pencucuh tembaga atau nikel, hingga 100,000 km.
  • Menghasilkan haba yang lebih tinggi, yang dapat mencegah pengumpulan karbon pada elektrod.
  • Meningkatkan prestasi enjin dengan menghasilkan percikan api yang lebih kuat dan stabil.
  • Mengurangkan penggunaan bahan api dengan meningkatkan pembakaran campuran udara dan petrol.
  • Mengurangkan pelepasan karbon dengan mengurangkan pembaziran bahan api.

 

3. Palam Pencucuh Iridium

Palam pencucuh iridium merupakan palam pencucuh yang paling mahal boleh didapati dalam pasaran. Nak tahu berapa harganya? Paling murah pun berharga RM120 untuk satu palam. Ada juga jenama lain yang dijual pada harga lebih RM200!

Kenapa harganya mahal? Ia diperbuat daripada iridium, sejenis logam yang amat keras dan mahal. Selain terkenal dengan kekerasannya, ciri utama yang menjadikan iridium antara bahan terbaik sebagai bahan elektrod untuk palam pencucuh adalah takat lebur yang sangat tinggi iaitu mencecah 2,500℃.

 

 

Palam pencucuh iridium mempunyai hujung yang sangat kecil lantas mengurangkan pengumpulan karbon di situ. Hasilnya, kurang pelepasan karbon dihasilkan dan jangka hayat yang lebih lama.

Palam pencucuh iridium juga lebih tahan lama iaitu sebanyak sehingga 150,000 km sebelum perlu ditukar.

 

Panduan Pilih Palam Pencucuh 

Ada banyak jenis tapi yang mana satu yang sesuai untuk kereta anda?  Tak susah pun nak pilih palam pencucuh yang mana sesuai untuk kereta anda. Anda boleh ikuti panduan ini:

 

1. Rujuk Manual Kereta

Cara paling mudah nak tahu palam pencucuh yang manakah sesuai untuk anda adalah dengan merujuk manual yang disediakan pengeluar kereta.

 

Ya, buku itu tebal (sangat) tetapi ia merupakan rujukan utama anda untuk apa saja yang berkaitan dengan kereta anda termasuklah nak pilih palam pencucuh apa untuk kereta anda. Jadi, jangan buang buku manual kereta anda! Simpan di tempat yang mudah untuk anda capai.

 

2. Tahu Tabiat Pemanduan Anda

Berapa kerap anda memandu? Adakah anda memandu dalam jarak yang jauh? Atau anda cuma memandu dalam bandar dan kerap berhenti?

Anda kena tahu macam mana corak dan tabiat pemanduan anda sebelum memilih palam pencucuh yang mana satu untuk kereta anda.

 

Sebagai contoh, jika anda kerap memandu dalam jarak yang jauh dengan kerap maka untuk prestasi yang lebih mantap, palam pencucuh dengan ketahanan haba yang tinggi.

Tak berbaloi jika anda membeli palam pencucuh yang mahal tetapi anda jarang menggunakan kereta anda.

 

3. Berapa Bajet Anda?

Kalau anda ada dompet yang tebal dan tak kisah langsung pasal bajet, anda boleh beli dan pasang palam pencucuh paling mahal yang ada dijual.

Tetapi, jika anda cuma seorang rakyat marhaen (seperti penulis) dan jarang gunakan kereta atau gunakan kereta untuk pemanduan jarak sederhana, guna sajalah palam pencucuh biasa. Kereta anda tetap boleh berfungsi seperti biasa.

 

Mahal Atau Murah, Yang Penting Beli Yang Ori! 

Tak kisahlah sama ada anda nak beli palam pencucuh tembaga nikel ataupun iridium, yang penting adalah untuk anda beli palam pencucuh yang asli dan bukannya yang tiruan.

Nak lagi selamat? Beli daripada wakil penjual yang sah atau tukar di pusat servis yang bertauliah untuk jaminan ketulenan alat ganti.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *