Impian Johor untuk memiliki ART bakal direalisasikan.

JOHOR BAHRU – Impian Johor untuk memiliki Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat di bandar raya ini semakin hampir direalisasikan apabila Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) telah diarahkan untuk melaksanakan Permintaan Cadangan (RFP) bagi projek tersebut dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan telah membentangkan kertas pertimbangan mengenai pembangunan ART bertingkat kepada Kabinet pada Disember lalu.

“RFP ini bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta menerusi konsep Kerjasama Awam Swasta (PPP) bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan segera.

“Oleh itu, UKAS akan membuka RFP dalam masa terdekat. Matlamat utama kami adalah untuk membangunkan ART bertingkat. RFP ini akan melalui proses penilaian terlebih dahulu, dan keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik bagi Pembangunan Hartanah Bersepadu di Bukit Chagar di sini pada Khamis.

Sementara itu, Anthony menjelaskan bahawa pembinaan ART bertingkat lebih sesuai untuk bandar raya Johor Bahru berbanding Projek Transit Aliran Ringan (LRT), yang memerlukan tempoh pembinaan lebih lama.

Beliau menjelaskan bahawa ART bertingkat merangkumi pembinaan jejambat serta lorong khusus, menjadikannya sistem pengangkutan yang lebih praktikal dan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.

“ART boleh beroperasi di laluan bercampur dengan bas, berbeza dengan LRT yang memerlukan landasan khusus untuk satu sistem sahaja,” katanya.

“ART bertingkat ini menggabungkan konsep laluan bas dan rel, menjadikannya lebih fleksibel.

Sebaliknya, pembinaan LRT memerlukan tempoh yang lebih lama, sekurang-kurangnya antara lima hingga tujuh tahun untuk disiapkan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa mempertimbangkan pandangan Kerajaan Johor mengenai pelaksanaan ART, yang bertujuan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di negeri ini.

“Kami di peringkat pusat sentiasa mendengar pandangan kepimpinan negeri Johor. ART ini adalah antara yang dihasratkan, malah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga pernah menyuarakan hasrat beliau mengenai projek ini,” katanya.

Pada 15 April tahun lalu, Kerajaan Johor dilaporkan mencadangkan pembinaan ART bertingkat sebagai langkah mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin kritikal di pusat bandar raya ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini menyatakan bahawa cadangan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Projek ART bertingkat ini dijangka menelan kos hampir RM7 bilion dan melibatkan pembinaan 32 stesen merentasi tiga laluan dengan jarak melebihi 50 kilometer.

Johor memilih sistem ART bertingkat kerana tempoh pembinaannya yang lebih singkat, membolehkan ia berfungsi sebagai pelengkap kepada Projek Rapid Transit System Link (RTS Link), yang dijadualkan beroperasi pada Januari 2027.

Projek RTS Link merangkumi jaringan rel sepanjang empat kilometer, menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Utara Woodlands di Singapura.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *