Elak Disaman! Ini Prosedur Tukar Enjin Kereta yang Wajib Dipatuhi

Kenderaan yang mengalami pengubahsuaian pada bahagian tertentu, seperti enjin, perlu menjalani pemeriksaan khas di Puspakom serta mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang. Secara umumnya, pemeriksaan khas Puspakom atau Pemeriksaan B2 adalah wajib bagi:

  • Kenderaan persendirian dengan cukai jalan yang telah luput melebihi tiga (3) tahun;
  • Kenderaan yang telah diubah suai, termasuk spesifikasi enjin, casis, atau badan kenderaan;
  • Kereta import baharu atau terpakai yang perlu didaftarkan dengan JPJ;
  • Penukaran nombor plat kenderaan;
  • Keperluan lain seperti yang ditetapkan oleh JPJ.

Menurut Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987, sebarang pengubahsuaian kenderaan sebelum atau selepas pendaftaran mesti menjalani Pemeriksaan Kenderaan Motor serta memberikan maklumat kepada Ketua Pengarah.

Syarat-Syarat Tukar Enjin Kereta di Malaysia

Menukar enjin kereta bukan sekadar proses teknikal, tetapi ia juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Berikut adalah syarat utama yang perlu dipenuhi:

  1. Penukaran enjin bagi kategori kenaikan kapasiti enjin melebihi 30% daripada enjin asal hanya dibenarkan untuk kenderaan jenis badan motokar sahaja.
  2. Penukaran enjin motosikal hanya dibenarkan bagi enjin yang mempunyai buatan dan kapasiti yang sama seperti enjin asal.
  3. Pemohon perlu mengemukakan Borang Kastam K1 sekiranya penukaran enjin melibatkan pembelian enjin import.
  4. Sekiranya enjin diperoleh atau dibeli daripada pemilik kenderaan lain, pemohon hendaklah mengemukakan surat rasmi pengesahan jual beli beserta Kad Perakuan Pendaftaran JPJK2 atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).
  5. Bagi kes tuntutan harta pusaka, pemohon perlu mengemukakan Surat Amanah Raya atau Perintah Mahkamah.
  6. Kenderaan yang telah menukar enjin lebih daripada sekali perlu mengambil kira perbezaan kapasiti enjin berbanding kapasiti enjin pada pendaftaran asal.
  7. Struktur rangka casis keseluruhan hendaklah berada dalam keadaan baik.
  8. Tiada pengubahsuaian atau kimpalan dibenarkan pada bahagian berikut: front cross member, steering linkage, steering box, base engine mounting, dan engine mounting.
  9. Bagi kenderaan enjin diesel, kadar pelepasan asap mestilah tidak melebihi 50% kelegapan (opacity).
  10. Tahap kecekapan brek kenderaan perlu ditingkatkan kepada 60% mengikut piawaian ujian brek dan had kestabilan sistem gantungan bagi penukaran enjin dengan kapasiti melebihi 30% daripada enjin asal.
  11. Status “enjin diesel hijau” akan terbatal setelah enjin kenderaan ditukar.
  12. Pertukaran hak milik tidak dibenarkan bagi kategori pertukaran enjin yang melibatkan perbezaan buatan daripada enjin asal.

 

Pemeriksaan Khas – PUSPAKOM

 

 

Pemeriksaan B2 PUSPAKOM & Prosedur Ringkas Tukar Enjin Kereta

Jika anda ingin menukar enjin kereta, pemeriksaan PUSPAKOM adalah salah satu proses penting yang perlu dilakukan bagi memastikan kenderaan selamat digunakan dan mematuhi peraturan. Berikut adalah prosedur ringkas yang perlu anda ikuti:

Dokumen Diperlukan

Sebelum membuat pemeriksaan di PUSPAKOM, pastikan anda mempunyai dokumen berikut:

  • Geran/Kad Pendaftaran Kenderaan (VOC)
  • Resit pembelian enjin atau surat rasmi pengesahan jual beli
  • Borang Kastam K1 (jika enjin adalah import)
  • Surat Amanah Raya/Perintah Mahkamah (jika enjin diperoleh melalui tuntutan harta pusaka)
  • Salinan kad pengenalan pemilik kenderaan
Proses Tukar Enjin
  1. Dapatkan enjin pengganti – Pastikan enjin yang anda beli sesuai dengan spesifikasi kenderaan dan mematuhi peraturan JPJ.
  2. Pasang enjin baharu – Enjin perlu dipasang oleh bengkel yang berdaftar dengan JPJ bagi memastikan pemasangan dilakukan dengan betul.
  3. Pemeriksaan B2 di PUSPAKOM – Selepas enjin dipasang, bawa kenderaan ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan bagi memastikan enjin dipasang dengan selamat dan tiada pengubahsuaian tidak dibenarkan.
  4. Kemukakan laporan PUSPAKOM ke JPJ – Jika lulus pemeriksaan, dapatkan laporan pemeriksaan B2 dan kemukakan kepada JPJ untuk pengemaskinian rekod kenderaan.
  5. Kemas kini dokumen di JPJ – Daftarkan pertukaran enjin di JPJ dengan menyerahkan laporan PUSPAKOM dan dokumen berkaitan untuk mendapatkan kelulusan rasmi.
Pemeriksaan B2 PUSPAKOM

Tujuan: Memastikan enjin yang ditukar mematuhi spesifikasi teknikal dan tiada pengubahsuaian berbahaya.
Fokus pemeriksaan:

  • Pemeriksaan nombor enjin dan casis
  • Struktur dan keadaan casis
  • Sistem pemasangan enjin
  • Kadar pelepasan asap (bagi enjin diesel)
  • Kecekapan brek dan kestabilan sistem gantungan

Bayaran: Anggaran RM30 – RM50 bagi pemeriksaan B2 (harga mungkin berbeza mengikut lokasi).

Perkara Penting Perlu Diketahui
  • Tidak semua enjin boleh ditukar sewenang-wenangnya – Jika kapasiti enjin meningkat lebih 30% daripada enjin asal, ia hanya dibenarkan untuk motokar.
  • Pengubahsuaian rangka casis tidak dibenarkan – Tiada kimpalan atau perubahan pada mounting enjin, sistem stereng, dan struktur utama kenderaan.
  • Pertukaran hak milik tidak dibenarkan – Jika enjin yang ditukar berlainan buatan daripada enjin asal, kenderaan tidak boleh ditukar milik selepas itu.

 

Op Tahun Baharu Cina: JPJ Johor sita 159 kenderaan - Sinar Harian

 

Sesi Perbincangan di JPJ

Dalam kes tertentu, pemilik kenderaan dikehendaki berjumpa dengan Pegawai Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Negeri untuk mendapatkan kelulusan sebelum menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM.

Kategori permohonan pertukaran enjin yang memerlukan kelulusan terlebih dahulu adalah seperti berikut:

  • Kenaikan kapasiti enjin melebihi 30% daripada enjin asal.
  • Penukaran enjin yang melibatkan perubahan jenis bahan bakar (contoh: dari enjin petrol kepada enjin diesel).
  • Penukaran enjin antara dua model atau buatan yang berbeza (contoh: dari enjin model Proton kepada enjin model Perodua).
  • Penukaran enjin bagi kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam.
  • Penukaran enjin motosikal.

Untuk permohonan ini, pemilik perlu menghantar permohonan melalui portal JPJ atau berurusan secara langsung di kaunter Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Negeri dengan mengemukakan dokumen berikut:

  • Borang Permohonan Tukar Enjin (JPJTE)
  • Kad Perakuan Pendaftaran JPJK2 / Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC)
  • Laporan Kastam K1 dengan maklumat nombor enjin baharu (jika enjin import)
  • Surat pengesahan jual beli antara pemilik beserta JPJK2/VOC enjin yang dibeli (jika berkaitan)
  • Surat Amanah Raya atau Perintah Mahkamah (jika enjin diperoleh melalui tuntutan harta pusaka)

Setelah mendapat kelulusan daripada Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Negeri, pemilik boleh menjalani Pemeriksaan Khas PUSPAKOM sebelum membuat pengesahan maklumat di JPJ.

Pindaan Maklumat di JPJ

Selepas lulus Pemeriksaan Khas PUSPAKOM, pemilik perlu hadir ke Pejabat JPJ untuk mengemas kini maklumat kenderaan (menukar info enjin lama kepada info enjin baharu).

Bagi urusan pindaan maklumat ini, pemilik perlu:

  • Mengisi dan melengkapkan Borang K8
  • Mengemukakan dokumen berikut:
  • Kad pengenalan (MyKad) – Jika urusan dilakukan oleh wakil, perlu sertakan salinan kad pengenalan pemilik.
  • Laporan Pemeriksaan Khas B2 PUSPAKOM
  • Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC)
  • Pindaan maklumat adalah percuma dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *