KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan, dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), akan meneliti langkah yang lebih berkesan dalam menangani isu penggunaan tayar celup yang tidak menepati standard ditetapkan.
Menterinya, Anthony Loke, menyatakan bahawa antara pendekatan yang dipertimbangkan termasuk menambah bukti fizikal melalui cap khas atau pelekat pada tayar, serta menerapkan teknologi seperti kod QR atau pengenalan frekuensi radio (RFID) bagi memastikan kesahihan dan keaslian tayar yang digunakan.
Tayar celup yang memenuhi standard ialah tayar yang telah melalui ujian ketahanan dan prestasi, serta terbukti selamat untuk digunakan di atas jalan raya.
“Penentusahan terhadap struktur pembinaan dan proses pengujian setiap tayar amat penting untuk dijalankan mengikut piawaian atau standard yang ditetapkan. Ini bagi mengurangkan risiko kegagalan tayar, terutamanya kejadian tayar meletup yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai peningkatan penggunaan tayar celup dalam kalangan lori dan kenderaan berat.
Menjelaskan lebih lanjut, Loke berkata tayar celup merupakan tayar terpakai yang dibaik pulih melalui proses penambahan, penggantian, dan pemulihan lapisan bunga tayar tanpa menjejaskan struktur asalnya, membolehkan ia digunakan semula.
Menurut Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan & Penggunaan) 1959, hanya tayar celup yang memperoleh persijilan pematuhan terhadap standard mandatori dibenarkan untuk digunakan di atas jalan raya.
“Terdapat tiga standard mandatori bagi tayar celup yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu Malaysian Standard (MS) 224: Spesifikasi bagi Proses Celupan Semula Tayar Getah Pneumatik untuk Kereta Penumpang dan Kenderaan Komersial; Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) R108: Tayar Pneumatik Celup Semula; serta Peraturan UN R109: Tayar Pneumatik Celup Semula untuk Kenderaan Komersial.
“JPJ akan terus menjalankan penguatkuasaan secara berkala, sama ada menerusi pemeriksaan di jalan raya mahupun melalui pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM), bagi memastikan kenderaan perdagangan menggunakan tayar yang mematuhi standard mandatori,” katanya.