Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menekankan bahawa proses kelayakan dan pemilihan syarikat bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dibuat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].
Menurut kementerian, sebanyak 12 syarikat telah mengemukakan cadangan melalui proses Request For Proposal (RFP) sebelum tarikh akhir pada 31 Oktober tahun lalu.
Dalam kenyataan tersebut, MOT memaklumkan bahawa setiap permohonan dinilai mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan 2.8 – Tatacara Perolehan Secara RFP, yang telah dikuatkuasakan sejak 29 November 2022.
Pemilihan syarikat dibuat berasaskan syarat kelayakan, prosedur, peraturan, dan standard yang telah diumumkan di laman rasmi MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 23 April 2024.
(Sehubungan itu) hasil penilaian yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pelesenan dan Penilaian PPKM mendapati bahawa tiga syarikat terpilih telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan, menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Antara kriteria utama yang perlu dipenuhi oleh syarikat termasuk pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), serta keperluan bahawa syarikat mestilah dimiliki sepenuhnya oleh entiti tempatan dalam kategori Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.) atau Berhad (Bhd.).
Syarikat yang dipilih juga diwajibkan memiliki modal berbayar minimum sebanyak RM10 juta sepanjang tempoh perkhidmatan serta modal pusingan tahunan sekurang-kurangnya RM5 juta.
Selain itu, syarikat yang terpilih perlu mendapatkan sijil perakuan pematuhan standard daripada Jabatan Standard Malaysia dalam tempoh dua tahun selepas tawaran diterima, serta memperoleh Sijil Kemudahan Yang Diluluskan (KYDL) daripada Jabatan Alam Sekitar sebelum pelesenan boleh dikeluarkan.
Mereka juga diwajibkan untuk mendaftar sebagai ahli International Motor Vehicle Committee (CITA) dalam tempoh dua tahun dari tarikh pelesenan, menurut kenyataan tersebut.
MOT turut menjelaskan bahawa tempoh pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bukanlah kriteria utama dalam pemilihan, sebaliknya faktor kestabilan kewangan syarikat diberikan keutamaan.
Penilaian dibuat berdasarkan keupayaan syarikat untuk menyediakan modal berbayar dan modal pusingan yang mencukupi bagi memastikan kelangsungan operasi.
Dari segi penentuan lokasi pusat pemeriksaan, MOT dan JPJ telah menetapkan kawasan operasi berpandukan konsep “cross subsidy” bagi memastikan keseimbangan penyediaan perkhidmatan antara kawasan dengan kapasiti tinggi dan rendah.
Pendekatan ini bertujuan untuk mengelakkan syarikat daripada hanya memilih lokasi yang mempunyai jumlah pelanggan tinggi, seterusnya memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan dapat diakses secara menyeluruh di seluruh negara, jelas MOT.
MOT turut menjelaskan bahawa surat tawaran yang dikeluarkan kepada syarikat yang terpilih pada 7 Februari tahun ini merupakan kelulusan bersyarat.
Syarikat berkenaan perlu memastikan penyediaan infrastruktur, peralatan, tenaga kerja, serta keperluan lain dalam tempoh 24 bulan sebelum lesen operasi dapat dikeluarkan.
Jika syarikat gagal memenuhi syarat yang ditetapkan dalam tempoh yang diberikan, lesen operasi tidak akan diberikan. Pendekatan ini juga tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan, jelas MOT.
MOT menegaskan bahawa keseluruhan proses perolehan dijalankan secara telus serta berpandukan tatacara perolehan dan kewangan yang sedang berkuat kuasa.
Langkah ini bertujuan untuk memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang berkualiti, kompetitif dan memberi manfaat kepada rakyat, menurut kenyataan itu.