Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) meminta agar sistem auto-accept (terima secara automatik) dalam perkhidmatan e-hailing dimansuhkan kerana ia dilihat memberi kerugian kepada pemandu.
Presiden TPAD, M Nathan, menyatakan bahawa sistem ini juga menghalang kebebasan pemandu e-hailing untuk memilih perjalanan yang sesuai dengan keperluan dan keselesaan mereka.
“Ia adalah sistem yang membebankan pemandu dan boleh digantikan dengan pelbagai cara lain untuk mengambil penumpang tanpa gangguan, seperti inisiatif ‘complete job and earn RM’ (selesaikan tugasan dan peroleh wang) sebagai contoh.
“Terimaan manual (manual accept) juga perlu dilaksanakan tanpa sebarang syarat, dan jika sistem baru diperkenalkan, ia harus memberikan pilihan kepada pemandu untuk memilih sama ada manual atau auto-accept,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum tuntutan mengenai isu e-hailing dan p-hailing kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) di Putrajaya hari ini.
Sebelum itu, Nathan bersama anggota TPAD yang lain telah mengadakan perbincangan selama hampir dua jam dengan Ketua Setiausaha MOT, Jana Santhiran Muniayan, dan wakil Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di MOT.
Menurut Nathan, isu auto-accept adalah salah satu daripada 21 tuntutan utama TPAD berkaitan amalan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing yang dilihat memberi beban kepada pemandu gig di Malaysia dari pelbagai sudut.
TPAD juga menuntut agar perlindungan insurans diperluaskan kepada pemandu gig sepanjang masa, bukan hanya semasa menjalankan tugasan, serta melindungi pihak ketiga yang terlibat dalam kemalangan yang disebabkan oleh pemandu atau penghantar.
“Selain itu, TPAD mencadangkan agar perkhidmatan e-hailing dan p-hailing memperkenalkan zon amaran bahaya secara automatik dalam aplikasi Google Maps dan Waze dengan sistem amaran pintar bagi mengurangkan risiko perjalanan dan meningkatkan keselamatan pemandu serta penumpang.”
“Apa yang diperjuangkan oleh TPAD ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pemandu gig, malah juga kepada penumpang. Kami juga mencadangkan pemasangan kamera papan pemuka (dash cam) dengan perakam suara.
“Jika berlaku kejadian yang tidak diingini dan pihak berwajib memerlukan bukti tambahan, ia akan sangat membantu,” katanya.
Ditanya mengenai hasil perbincangan, Nathan menyatakan bahawa MOT telah memberi jaminan untuk memberikan maklum balas mengenai isu tuntutan tersebut dalam tempoh dua minggu selepas mendapat pandangan daripada pengendali perkhidmatan p-hailing dan e-hailing.
Selaras dengan keputusan itu, Nathan berkata perhimpunan aman berkaitan tuntutan TPAD yang dijadualkan di pekarangan MOT esok dibatalkan serta-merta.