Perodua hari ini memperkenalkan evolusi prototaip kenderaan elektrik baterinya, eMO-II (disebut sebagai M-O-2). Prototaip ini melambangkan langkah seterusnya dalam perjalanan kami menghasilkan kereta elektrik (EV) dengan teknologi yang dibangunkan sepenuhnya secara dalaman. Berbanding model prototaip sebelumnya, eMO-II tampil dengan reka bentuk yang lebih moden serta ciri-ciri yang telah dipertingkatkan, menjadikannya lebih bersedia untuk mendukung masa depan EV kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad ketika majlis pelancaran eMO-II.
Prototaip terbaru ini menampilkan rekaan yang lebih kemas, menggabungkan elemen estetik abad ke-21 dengan keunikan budaya Malaysia. Reka bentuk kenderaan ini diinspirasikan oleh elemen songket, yang dipadukan dengan lampu LED untuk melengkapkan keseluruhan penampilannya.
eMO-II dibangunkan dengan menggunakan casis baharu yang menawarkan jarak perbatuan sekitar 400 hingga 410 kilometer (km), dengan keupayaan pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 6 hingga 7 saat.
Di bahagian dalam, eMO-II menawarkan kabin yang sangat moden, dilengkapi dengan stereng dua jejari serta “kokpit” lilitan yang menampilkan paparan instrumen digital. Ia juga dilengkapkan dengan skrin sentuh yang lebih kecil dan lubang penyaman udara berkembar untuk keselesaan maksimum.
Lebih ke bawah, terdapat konsol tengah hitam berkilat yang menempatkan pemilih gear butang tekan, skrin sentuh kedua untuk kawalan penyaman udara, serta pemegang mini iPad yang dilengkapi dengan pengecas wayarles Qi terbina dalam.
“Perlu diingatkan bahawa ini adalah model prototaip dan masih terdapat banyak ciri serta penambahbaikan yang akan ditambah pada produk akhir kami yang bakal dilancarkan tidak lama lagi,” kata Dato’ Sri Zainal.
Projek EV ini dibangunkan sepenuhnya oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Perodua pada tahun 2023.
“Walaupun masa yang kami ambil agak singkat, kami berjaya menguasai pembuatan EV dengan lebih baik melalui kerjasama bersama beberapa perunding yang dilantik. Kami bangga dapat memenuhi garis masa yang telah ditetapkan, dan hari ini kami dapat berkongsi perkembangan mengenai EV kami dengan anda semua,” jelas Dato’ Sri Zainal.
Beliau juga menambah bahawa Perodua bekerjasama dengan beberapa organisasi korporat tempatan untuk memastikan pelanggan mendapat pengalaman mobiliti yang lebih baik.
“Mobiliti yang lebih baik bermakna kami memberi perhatian kepada setiap aspek pemilikan EV untuk memastikan pelanggan menikmati pengalaman yang efisien, mesra pengguna, dan dilengkapi dengan prasarana sokongan dari organisasi terkemuka negara,” katanya.
“Yang paling penting, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), atas sokongan terhadap projek ini, yang turut menyokong ekosistem automotif negara dalam meneroka dunia EV,” tambahnya.
Selain eMO-II, Perodua turut mempamerkan kereta konsep Ativa Fuze serta memperingati perjalanan 30 tahun Perodua di KLIMS 2024. Perodua mengalu-alukan orang ramai untuk melawat ruang pamerannya, melihat sendiri kenderaan yang dipamerkan, dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.
Harga EV Perodua
Perlu diingat bahawa emo-II merupakan episod kedua, dan orang ramai diminta untuk menantikan episod ketiga, di mana produk akhir dijangka akan dilancarkan di pasaran dengan harga antara RM50,000 hingga RM90,000 (tidak melebihi RM90,000)