KUALA LUMPUR – Operasi pemeriksaan mengejut dijalankan di semua Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) hari ini untuk memastikan kenderaan mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan, seramai 350 anggota telah dikerah dalam Op Mengejut Puspakom yang bermula pada jam 9.30 pagi.
Beliau menegaskan, operasi ini akan diteruskan tanpa sebarang makluman awal kepada Puspakom, selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang mahu JPJ melaksanakan penguatkuasaan secara berperingkat.
Fasa pertama melibatkan sekatan jalan raya yang telah dilaksanakan oleh JPJ di beberapa lebuh raya terpilih, manakala fasa kedua adalah pemeriksaan mengejut di Puspakom seperti yang dijalankan hari ini.
Fasa ketiga akan melibatkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melakukan serbuan ke atas syarikat pengeluar, manakala fasa keempat akan melibatkan serbuan di kedai aksesori,” katanya kepada pemberita selepas operasi di Puspakom Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Puspakom, Mahmood Razak Bahman; Ketua Setiausaha MOT, Dato’ Jana Santhiran Muniayan; dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.
Daripada 115 lori yang diperiksa, sebanyak 29 dikenakan tindakan penguatkuasaan, manakala 69 notis telah dikeluarkan.
“Kami turut menyita lima kereta dan dua lori, menjadikan keseluruhan tujuh kenderaan dirampas dalam tempoh hanya dua jam 30 minit operasi,” katanya.
Dalam operasi hari ini, pihaknya mendapati beberapa kesalahan, termasuk penggunaan tayar celup yang tidak selamat dan dalam keadaan uzur oleh pemandu lori, yang berpotensi meletup pada bila-bila masa.
Ketua Setiausaha MOT telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom untuk segera melaksanakan penambahbaikan, memandangkan kebanyakan tayar tersebut mudah pecah dan berisiko menyebabkan kemalangan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa penyelia dan kakitangan Puspakom Wangsa Maju akan dipanggil ke Ibu Pejabat JPJ pada pukul 10 pagi esok untuk soal siasat berkaitan penemuan sebuah kenderaan yang berada dalam keadaan tidak selamat.
“Saya telah meminta Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom untuk menghantar individu yang bertanggungjawab meluluskan kenderaan tersebut supaya kami dapat menjalankan sesi temu siasat.
“Satu kertas siasatan akan dibuka, dan kemas kini akan diberikan apabila maklumat lanjut diperoleh,” jelasnya.