Tahun 2022 menyaksikan pelancaran pelbagai model kereta elektrik baharu di Malaysia, hasil usaha jenama automotif terkenal seperti Tesla, BYD Atto 3, Hyundai Kona, GWM Ora Good Cat dan lain-lain. Walaupun kereta elektrik sering dianggap mahal, sebenarnya harga model-model ini kini lebih mampu milik. Ini disebabkan oleh insentif dan pengecualian cukai yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2022, menjadikan kereta elektrik lebih menarik di pasaran.
Akibatnya, kita boleh menjangkakan peningkatan penggunaan kereta elektrik dalam kalangan pemandu di Malaysia untuk tahun-tahun mendatang. Semakin banyak kereta elektrik di jalan raya, semakin tinggi keperluan fasiliti pengecasan bagi menyokong penggunaan kereta elektrik di seluruh negara, termasuk di luar pusat membeli-belah.
Adakah anda tahu bagaimana untuk mengecas kereta elektrik apabila bateri habis?, serta apakah jenis stesen pengecas yang wujud di negara kita? Kami telah menyenaraikan semua maklumat yang diperlukan di sini untuk rujukan anda.
Pengecasan AC & DC untuk Kereta Elektrik
Kebanyakan kita tahu bahawa bekalan elektrik ke rumah kita datang dalam bentuk arus ulang-alik (AC). Ini kerana tenaga AC lebih murah untuk dihasilkan, mengalami kehilangan tenaga yang lebih rendah berbanding arus terus (DC) dan mudah diubah kekuatannya dengan transformer.
Kedua-dua jenis pengecasan AC dan DC boleh digunakan untuk mengecas kereta elektrik, tetapi yang manakah lebih baik?
Bagaimana Pengecasan AC Berfungsi?
- Pengecas AC (pengecas dinding) boleh dipasang di rumah atau di kawasan awam seperti tempat letak kereta untuk pangsapuri. Ini adalah jenis pengecas untuk kereta elektrik yang sering menjadi pilihan pemilik kerana kosnya yang rendah dan kemudahan pemasangan.
- Pengecas ini memberikan tenaga AC secara langsung dari grid kepada kereta elektrik anda.
- Penukar arus yang terdapat dalam kereta anda akan menukar tenaga AC dari pengecas dinding kepada tenaga DC yang diperlukan untuk mengecas bateri.
- Proses pengecasan AC tidak membebankan grid secara berlebihan, tetapi ia mempunyai kadar pengecasan yang lebih perlahan, biasanya mengambil masa sehingga lapan jam untuk mengecas bateri kereta elektrik hingga 80%.
Bagaimana Pengecasan DC Berfungsi?
- Pengecas DC, atau dikenali sebagai pengecas pantas, berfungsi dengan menukarkan tenaga AC daripada grid kepada DC sebelum disalurkan terus ke bateri kereta anda. Ini bermakna ia tidak melalui penukar arus yang ada dalam kereta.
- Reka bentuknya yang lebih berkuasa membolehkannya menukarkan arus kepada DC, menjadikannya lebih besar daripada pengecas AC dinding.
- Pengecas DC mampu menyediakan kuasa yang lebih tinggi dan dapat mengecas bateri kereta elektrik anda sehingga 80% lebih cepat berbanding dengan pengecas AC.
- Walau bagaimanapun, pemasangan dan kos operasinya lebih tinggi, oleh itu penyedia perkhidmatan pengecasan kereta elektrik biasanya mengenakan caj kepada pengguna berdasarkan penggunaan setiap minit.
- Disebabkan oleh kos yang tinggi dan saiz yang lebih besar, pengecas DC lebih sesuai untuk digunakan di hentian rehat dan rawat (R&R), di mana pengguna memerlukan pengecasan pantas dalam waktu yang singkat.
Senang ke Susah Nak Mengecas Kereta Elektrik di Malaysia?
Walaupun jumlah stesen pengecasan kereta elektrik di pangsapuri dan kondominium di Malaysia masih terhad, semakin banyak pemaju hartanah kini mula memasang stesen pengecas di tempat letak kereta dan kawasan awam. Jadi, apakah pilihan yang boleh anda gunakan untuk mengecas kereta elektrik anda?
Stesen Pengecasan di Rumah
Jenis Pengecas | Pengecas dinding AC. |
Kos Pemasangan | Dibayar oleh pemilik rumah, boleh disertakan dalam kos pembelian kereta. Pemaju pangsapuri juga boleh menyediakan stesen pengecas di hartanah mereka untuk kegunaan penduduk. |
Lokasi | Dipasang di rumah pemilik, atau sesetengah pemaju mungkin akan memasangnya di kawasan komunal pangsapuri. |
Kos Penggunaan | Mengikut caj bil elektrik TNB. |
Kadar Pengecasan | Konsisten. |
Masa Mengecas | Perlahan tapi pada kadar tetap. |
Penggunaan | Sangat mudah, anda boleh mengecas kereta anda tanpa perlu berebut dengan pengguna lain. Kebanyakan pemilik kereta elektrik mengecas kereta mereka semalaman di rumah. |
Stesen Pengecasan Awam
Jenis Pengecas | Mempunyai kedua-dua jenis pengecas – AC dan DC. |
Kos Pemasangan | Disediakan oleh penyedia perkhidmatan mengecas kereta elektrik seperti ParkEasy, ChargEV, dan Jom Charge. Beberapa pengeluar kereta mewah juga telah menaja stesen pengecasan ini. |
Lokasi | Kebanyakan stesen pengecasan awam boleh didapati di kawasan bandar, manakala pengecas DC pula boleh didapati di pusat membeli belah dan hentian R&R tertentu di sepanjang lebuh raya. |
Kos Penggunaan | Anda akan dikenakan bayaran mengikut penggunaan setiap minit atau jam, bergantung kepada kadar yang ditetapkan penyedia perkhidmatan. |
Kadar Pengecasan | Tidak tetap – setiap stesen pengecas mempunyai kadar tersendiri yang berbeza. |
Masa Mengecas | Pantas tapi tidak boleh dijangka seperti pengecasan di rumah. |
Kemudahan | Sukar untuk digunakan pada ketika ini (2022) kerana jumlah stesen pengecasan yang masih terhad di Malaysia. |
Cara Meningkatkan Kemudahan Pengecasan Kereta Elektrik di Malaysia
Walaupun kemajuan teknologi kereta elektrik dijangka membawa kepada penurunan kos, tidak ada jaminan bahawa penggunaan kereta elektrik akan meningkat di Malaysia. Walaupun bateri yang lebih besar dan berkuasa ditawarkan, kemudahan pengecasan AC yang mencukupi masih menjadi faktor penting untuk memastikan semua pemilik kereta elektrik dapat mengakses kemudahan ini, terutamanya di kawasan bandar.
Selain itu, stesen pengecas DC juga sangat penting bagi mereka yang melakukan perjalanan jauh di lebuh raya. Dengan bayaran yang lebih tinggi, stesen ini membolehkan pemandu kereta elektrik mengisi semula bateri dengan pantas sambil menikmati masa rehat untuk minum kopi atau ke tandas, menjadikannya pilihan ideal untuk hentian R&R semasa perjalanan.
Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk beralih kepada kereta elektrik? Atau adakah anda lebih suka menunggu beberapa tahun lagi untuk melihat peningkatan dalam infrastruktur pengecasan di Malaysia sebelum membuat keputusan untuk beralih kepada kenderaan yang lebih mesra alam ini?